Pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit pada 18 Julai

comments     Published     Updated

Pilihanraya kecil bagi kawasan Parlimen Pendang dan kerusi Dewan Undangan Undangan (DUN) Anak Bukit akan diadakan serentak pada 18 Julai depan.

Menurut laporan Bernama, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga menetapkan hari penamaan calon bagi kedua-dua kerusi itu, turut diadakan serentak pada 10 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, yang merupakan penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, pada 23 Jun lepas.

Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Pengerusi SPR Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai berkata SPR telah menetapkan untuk menggunakan daftar pemilih bahagian pilihanraya P11 Pendang dan N15 Anak Bukit yang diwartakan pada 20 Disember 2001 dan telah dikemaskinikan sehingga semalam.

Mengikut daftar pemilih itu, kawasan Pendang mengandungi 53,128 pengundi berdaftar termasuk 170 pengundi pos. Kawasan Anak Bukit pula mempunyai 19,399 pemilih berdaftar termasuk 20 pengundi pos.

Abdul Rashid berkata penamaan calon bagi kawasan Parlimen Pendang akan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang manakala penamaan calon bagi kawasan Anak Bukit pula di Dewan Auditorium Bernas di Anak Bukit.

Patuhi peraturan

Urusan penamaan calon adalah dari 9 pagi hingga 11 pagi manakala waktu bantahan dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

SPR telah melantik Pegawai Daerah Pendang, Saad @ Abdul Halim Hassan, sebagai Pegawai Pengurus bagi pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Hassan Taib, sebagai Pegawai Pengurus bagi pilihan raya kecil Anak Bukit.

Sebanyak 650 petugas pilihan raya akan dilantik untuk membantu SPR dalam menjalankan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Pendang dan 250 petugas lagi untuk Anak Bukit, katanya.

Abdul Rashid berkata SPR dimaklumkan secara rasmi pada 26 Jun oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah berhubung kekosongan kerusi kawasan Parlimen dan DUN Anak Bukit.

Beliau menasihati semua pihak terutama parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu yang terlibat supaya mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen.

"Kepada pihak media, SPR menyeru supaya memberi liputan yang saksama kepada semua pihak yang bertanding. Kejayaan kedua-dua pilihan raya kecil ini bergantung kepada kerjasama semua pihak yang terlibat," katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita, Abdul Rashid berkata jumlah pemilih di kedua-dua kawasan pilihanraya itu adalah kurang daripada jumlah yang disenaraikan dalam daftar pemilih yang diwartakan pada 27 Dis lepas setelah semakan dibuat sehingga semalam.

Daftar pemilih

SPR, katanya, telah memotong 1,173 nama daripada daftar pemilih kawasan Parlimen Pendang dan 401 nama daripada daftar pemilih kawasan DUN Anak Bukit setelah semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara mendapati mereka telah meninggal dunia.

Nama-nama mereka yang dipotong itu termasuklah nama Allahyarham Fadzil Noor dan daftar pemilih telah dibersihkan.

Abdul Rashid berkata beliau tidak nampak sebarang masalah yang akan timbul daripada daftar pemilih itu melainkan ada pengundi yang telah meninggal dunia tetapi belum dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Soal pengundi hantu tidak timbul kerana nama-nama pemilih dalam senarai itu adalah sah walaupun mereka tidak lagi tinggal di kawasan itu. Beliau berkata pemilih yang tinggal di luar kawasan pilihan raya itu boleh pulang ke situ untuk mengundi.

Beliau menasihati pihak-pihak berkenaan supaya membeli daftar pemilih yang telah dikemaskini sehingga semalam sebagai panduan untuk kedua-dua pilihan raya kecil itu dan bukannya yang diwartakan pada 27 Dis tahun lepas.

Abdul Rashid juga menjelaskan bahawa peraturan pilihan raya untuk kedua-dua pilihan raya kecil itu tidak berubah kerana peraturan baru belum dikuatkuasakan. Cuma yang dikuatkuasakan sekarang ialah Akta Pilihanraya yang memerlukan SPR mengeluarkan writ tidak melebihi 10 hari daripada tarikh kekosongan.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In