Isu harga air dibawa ke DUN Sngor 28 Mac
Enam orang wakil rakyat Barisan Alternatif (BA) akan menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif bekalan air kepada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor 28 Mac depan, kata wakil rakyat Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali hari ini.
Perhimpunan dan penyerahan memorandum kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur yang dijadualkan jam 2.30 petang tadi dibatalkan dengan alasan "kehadiran anggota polis dan pasukan antirusuhan FRU yang ramai."
Kira-kira 70 anggota polis antirusuhan dan polis berpakaian seragam mengawal keadaan.
Bagaimanapun, kira-kira 200 penyokong pembangkang berkumpul di perkarangan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya selepas sembahyang Jumaat hari ini, kira-kira 200 meter dari JBA.
Dalam perhimpunan itu, Azmin membacakan 'memorandum rakyat' yang mengandungi tujuh perkara, antaranya membantah keputusan kerajaan Selangor menaikkan harga air antara 20 hingga 75 peratus, dan menuntut JBA mengkaji kesan inflasi ekoran kenaikan harga itu. (Lihat teks penuh 'memorandum rakyat' di bawah)
Turut hadir hari ini Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua dan aktivis reformasi Abd Malek Hussin. Mereka bersurai 30 minit selepas itu tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Azmin, yang juga Ketua Perhubungan Keadilan Selangor berkata, mereka akan menyiapkan hujah dan fakta terperinci dalam sidang DUN bagi membahaskan isu tersebut.
"Demonstrasi akan kita teruskan seperti biasa. (Kita) tidak tunduk dengan sebarang ugutan," katanya kepada akhbar selepas perhimpunan tengahari tadi.
Malaysiakini difahamkan satu perhimpunan akan diadakan bagi mengiringi penyerahan memorandum pada 28 Mac depan di Shah Alam.
"(Kenaikan harga air) ini adalah masalah kepimpinan negeri Selangor yang lemah, ghairah dengan projek-projek mega sehingga kepentingan rakyat diketepikan," kata Azmin lagi.
Beliau menjelaskan, perhimpunan tengahari tadi bukan untuk menggulingkan kerajaan tetapi memperjuangkan nasib orang ramai, "termasuk orang Umno dan anggota FRU yang menjadi hulubalang kerajaan".
Tian yang turut berucap di tempat yang sama meminta orang ramai bersedia untuk menghadiri perhimpunan yang lebih besar pada masa akan datang.
(Teks penuh)
'Memorandum Rakyat mengenai Isu Kenaikan Tarif Bekalan Air' yang asalnya ditujukan kepada Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air hari ini.
Menyedari air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia;
Mengingati tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat sebagai satu amanah;
Menegaskan penswastaan bekalan air tidak harus membebankan rakyat kerana dasar ini lebih bersifat komersil;
Maka kami rakyat Malaysia yang berkumpul hari ini, Jumaat 9 Mac 2001 bersamaan 13 Zulhijjah 1421;
Pertama , membantah keputusan kerajaan Selangor yang menaikkan tarif bekalan air antara 20 hingga 75 peratus.
Kedua , menolak alasan kenaikan tarif ini yang lebih melibatkan soal operasi sedangkan yang harus diperbaiki ialah sistem pengurusan Jabatan Bekalan Air,
Ketiga , mempersoalkan alasan kekurangan sumber air sebagai penyebab kepada kenaikan ini sedangkan rakyat menyedari berlakunya pencerobohan kawasan tadahan air yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dengan berselindung di sebalik nama pembangunan,
Keempat , menolak alasan isu bil tertunggak sejumlah RM219 juta yang dijadikan sebab kenaikan ini kerana pengguna terbanyak tidak harus dibebankan dengan isu ini, sebaliknya pengurusan kutipan perlu lebih diperkemaskan,
Kelima , mempersoalkan kenapa rakyat perlu dibebankan dengan pembaziran air sebanyak 42 peratus ekoran kebocoran saluran paip kerana menjadi tanggungjawab Jabatan Bekalan Air untuk mengawasi dan menyelenggara,
Keenam , menuntut Jabatan Bekalan Air agar tidak tunduk kepada kehendak pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi melalui dasar penswastaan, sebaliknya perlu lebih peka terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat,
Ketujuh , menuntut satu kajian kesan inflasi dijalankan ekoran kenaikan tarif bekalan air ini agar rakyat tidak menanggung beban.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.