Nik Aziz nafi laporan sedia lepas jawatan sekarang
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menolak dakwaan bahawa beliau bersedia meletak jawatan tersebut sekarang, kata Setiausaha Akhbarnya, Mohd Saiba Yaakob.
Katanya, setakat Nik Aziz hanya memberi gambaran bahawa beliau tidak bercadang untuk memegang jawatan menteri besar selama-lamanya.
"Sebaliknya beliau akan berundur apabila tiba masanya kelak," kata Mohd Saiba yang memetik Nik Aziz sebagai mengulas akhbar berbahasa Inggeris, the Star, mengenai perkara itu hari ini.
Dalam satu wawancara dengan akhbar tersebut semalam, Nik Aziz dilaporkan sebagai berkata beliau bersedia meletakkan jawatan menteri besar yang disandang sekarang.
Beliau juga dilaporkan sebagai berkata, tugasnya sebagai Mursyidul Am Pas adalah agak berat dan mungkin meletak jawatan menteri besar jika keadaannya tidak menyenangkan beliau.
Mohd Saiba menjelaskan, walaupun Nik Aziz memegang jawatan menteri besar sudah mencecah penggal ketiga, tetapi belum ada sungutan dari penyokong Pas bahawa tempoh itu terlalu lama untuk beliau terus menyandangnya.
Jawatankuasa pemilih
"Dengan demikian beliau mungkin meneruskan lagi buat penggal keempat untuk menjadi ketua kerajaan jika pihak parti itu (PAS) meminta beliau berbuat demikian," jelas Mohd Saiba.
Nik Aziz, 71, mula menjadi menteri besar selepas PAS bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46) menewaskan Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam pilihanraya umum pada tahun 1990.
Dalam tahun tersebut, PAS, S46, Parti Berjasa dan Parti Hizbul Muslimin (Hamim) telah membentuk satu pakatan pembangkang, Angkatan Perpaduan Ummah (APU), untuk menawan Kelantan dari BN.
Pihak parti PAS kemudian terus memberi amanah kepada Nik Aziz untuk menerajui Kerajaan Negeri Kelantan selepas parti itu berjaya mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya 1995 dan 1999.
Mengenai bakal pengganti Nik Aziz jika beliau melepaskan jawatan menteri besar, Mohd Saiba berkata, ia akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa di mana beliau (Nik Aziz) sendiri tidak menjadi anggotanya.
Jawatankuasa tersebut, katanya, dibentuk pada setiap kali pilihanraya umum dan pilihanraya negeri diadakan, dengan tugas untuk menentukan calon menteri besar jika kemenangan terus berpihak kepada PAS.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.