PAS umum calon Pendang, Anak Bukit 9 Julai depan
PAS akan hanya mengumumkan calon-calonnya bagi pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada 9 Julai depan, kata Pemangku Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Buat masa ini, katanya, pucuk pimpinan parti itu masih menimbang kesesuaian tiga calon yang telah dikemukakan untuk kerusi Pendang dan tiga lagi untuk Dun Anak Bukit.
Abdul Hadi memberitahu malaysiakini demikian selepas menghadiri mesyuarat khas pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit yang berlangsung selama dua setengah jam di Markas PAS di Taman Melewar, Kuala Lumpur, petang ini.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah semua pemimpin tertinggi PAS dan Setiausaha Agungnya, Nasharuddin Mat Isa. Mereka juga turut diberi taklimat oleh kepimpinan PAS Kedah mengenai persiapan menghadapi dua pilihanraya kecil tersebut.
Abdul Hadi tidak menyatakan sama ada calon-calon berkenaan terdiri daripada anak tempatan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, antara beberapa nama yang disebut-sebut akan terpilih bertanding di kedua-dua pilihanraya kecil itu ialah anak Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Dr Amar dan ahli seumur hidup PAS, Datuk Harun Din.
Tiada calon muslimat
Turut disebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mohamad Muslim dan Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang.
Ditanya sama ada wakil muslimat antara enam calon berkenaan, Abdul Hadi yang juga menteri besar Terengganu, berkata, PAS Kedah tidak menyenaraikan calon muslimat.
Pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit diadakan ekoran kematian Fadzil pada 23 Jun lalu, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kerusi tersebut pada 10 Julai ini dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung serentak pada 18 Julai depan.
Dalam pilihanraya umum 1999, Fadzil yang juga Presiden PAS menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Abdul bagi kerusi Parlimen Pendang dengan majoriti 2,934 undi.
Dalam pilihanraya itu, Fadzil memperolehi 22,413 undi untuk menewaskan Othman yang mendapat 19,474 undi.
Manakala bagi kerusi DUN Anak Bukit pula, Allahyarham memperolehi 8,480 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin, dengan 1,840 undi. Abdullah mendapat 6,640 undi.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now