Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan apabila pulang daripada bercuti Rabu ini, mengenai apa sebenarnya yang hendak dinyatakannya ketika membuat pengumuman meletakkan jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 22 Jun lalu, kata Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, ini kerana kenyataan pelbagai pemimpin tertinggi Umno telah menimbulkan kekeliruan dan percanggahan berhubung tempoh peralihan perletakan jawatan Dr Mahathir itu.

"Sejak minggu lalu, terdapat empat versi mengenai apa yang mahu diumumkan oleh Dr Mahathir berhubung perletakan jawatannya sewaktu berucap menggulung perbahasan di perhimpunan agung pada 22 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, versi pertama menyebut perletakan jawatan Dr Mahathir dalam kerajaan dan parti akan berkuatkuasa pada hujung tahun ini, tetapi tempoh peralihan itu dilanjutkan kepada 16 bulan atas rayuan pemimpin Umno.

Versi kedua pula, katanya, menyebut tempoh peralihan 16 bulan sehingga selepas mesyuarat Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC), adalah apa yang hendak diumumkan Dr Mahathir pada 22 Jun lalu, tetapi tidak sempat.

Manakala versi ketiga, kata Kit Siang, ialah semuanya hanya satu sandiwara bagi Dr Mahathir mengukuhkan kedudukannya dalam Umno dan 'mendiamkan' pengkritik kenyataannya mengenai kegagalannya mengubah sikap orang Melayu, pelaksanaan meritokrasi, dan kuota 10 peratus kemasukan bukan Melayu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan mengikuti program matrikulasi.

Penjelasan sebenar

"Bagaimanapun, dalam wawancara media, anak Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, pula menyatakan bahawa Dr Mahathir berhasrat meletakkan serta-merta jawatan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, presiden Umno dan pengerusi BN dan diambil alih oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Menurut Mokhzani lagi, beliau dan Rafidah memainkan peranan utama supaya Dr Mahathir menukar keputusannya untuk meletakkan jawatan serta-merta, dan bersetuju dengan cadangan tempoh peralihan, sepertimana yang diumumkan oleh Jawatan Pengurusan Umno," kata Kit Siang.

Kesimpulannya, kata beliau, kenyataan para pemimpin Umno itu telah menimbulkan percanggahan fakta dan kekeliruan, yang memerlukan Dr Mahathir sendiri membuat penjelasan sebenarnya mengenai perkara itu, sekembalinya ke tanahair nanti.

"Sekiranya Dr Mahathir hendak meletakkan jawatan serta-merta, beliau perlu menjelaskan mengapa beliau tidak 'menyediakan' Abdullah sebagai perdana menteri kelima, bagi memastikan proses peralihan kuasa itu berjalan dengan licin dan teratur.

"Ini memandangkan, beliau tidak pernah sekalipun dilantiknya sebagai pemangku Perdana Menteri semasa Dr Mahathir melakukan 50-60 lawatan ke luar negara, sepanjang tempoh 30 bulan Abdullah dilantik sebagai timbalan perdana menteri," tegas Kit Siang.

Tegasnya lagi, sekiranya tempoh peralihan 16 bulan sebelum Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, bertujuan membolehkan proses peralihan kuasa yang licin, maka ianya perlu dibincang sama ada ia cara terbaik atau ada lagi cara lain yang boleh dilakukan