Nik Aziz sentiasa patuh arahan parti
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa patuh kepada arahan parti dalam menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS.
Beliau berkata, selagi parti memerlukannya, beliau akan terus berbuat demikian, dan begitu juga sebaliknya.
"Sekiranya parti mahu saya terus berkhidmat...tak apa, saya duduk (teruskan) lagi. Begitu juga kalau parti kata cukuplah tu, memandangkan dua penggal tu dah cukup, tak pa juga, saya boleh berundur bila-bila masa," katanya.
Beliau menegaskan demikian hari ini bila diminta kepastian oleh media mengenai desas-desus bahawa beliau akan berundur dari menjadi menteri besar setelah tempohnya menyandang jawatan itu masuk penggal ketiga.
Nik Aziz, 71, menjadi menteri besar sejak 1990, setelah PAS bersama bekas Parti Melayu Semangat 46 (S46), Hamim dan Berjasa menawan Kelantan daripada Barisan Nasional.
Sabtu lalu (29 Jun) Nik Aziz dilaporkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star , bahawa beliau sedia berundur dari jawatan itu memandangkan tugasnya sebagai Mursyidul Am PAS agak berat.
Salah tanggapan
Beliau dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata: "Bila sampai ke satu peringkat di mana saya rasa tidak dapat meneruskannya lagi, maka saya akan berhenti dari jawatan itu (menteri besar)."
Berikutan itu, setiausaha akhbarnya Mohd Saiba Yaakob membuat penjelasan kepada malaysiakini Sabtu lalu, bahawa apa yang dilaporkan itu adalah kurang tepat dan melencong daripada maksud sebenarnya.
Nik Aziz juga dalam kaitan ini mengakui laporan dalam akhbar tersebut sebagai silap tanggapan.
"Apa yang dilaporkan itu tidak tepat..tidak begitu tujuannya. Boleh jadi bahasa saya tak difahami oleh penulis. Tak tahulah apa hal jadi begitu," katanya.
Beliau yang juga pesuruhjaya PAS negeri Kelantan seterusnya menceritakan, pada mulanya beliau dilantik menjadi Mursyidul Am Pas tetapi secara kebetulan dipilih pula menjadi menteri besar.
Tugas Mursyidul Am ini, jelas beliau ialah membimbing atau memberi panduan kepada seseorang ahli PAS bagaimana berdepan dengan masyarakat, bagaimana hendak berumahtangga dan bagaimana hendak berucap dan banyak lagi.
Tempoh memimpin parti
Menurutnya, beliau sendiri merasakan tugas Mursyidul Am itu sudah cukup dengan sepenggal sahaja kerana bimbang kalau-kalau ada orang menuduhnya hendak rebut peluang menjadi menteri besar pada setiap penggal pilihanraya.
Bagaimanapun, tegasnya, oleh kerana itu adalah kehendak parti, beliau terpaksa ikut.
Mengenai pertanyaan sama ada seseorang Mursyidul Am akan dihadkan tempohnya menjadi menteri besar, Nik Aziz berkata itu terpulang kepada keadaan.
Ditanya mengenai pilihanraya kecil yang akan diadakan di kawasan Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Nergeri kawasan Anak Bukit di Kedah, Nik Aziz enggan mengulas dan berkata setakat ini beliau tidak dapat membuat apa-apa komen lagi.
Terdahulu Nik Aziz telah merasmikan majlis ulangtahun Yayasan Islam Kelantan (YIK), sebuah badan yang mengendalikan pentadbiran kira-kira 90 buah sekolah menengah agama di seluruh negeri.
Lebih 2,500 orang terdiri daripada para guru, kakitangan jabatan YIK, dan jabatan agama Islam Kelantan hadir di majlis tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.