Saya akur tradisi pemilihan pucuk pimpinan parti: Muhd Taib
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata beliau akan menghormati tradisi pemilihan pucuk pimpinan parti di mana presiden parti akan memilih bakal timbalannya dalam parti dan kerajaan.
Katanya, tradisi pemilihan itu, yang sudah lama diamalkan sejak pada zaman Perdana Menteri pertama, Tengku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika beliau melantik Tun Abdul Razak Hussin, sebagai timbalannya pada 1951 bertujuan mengelak berlaku perpecahan dalam parti.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengenai kemungkinan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilantik sebagai timbalan presiden Umno.
Dr Mahathir, yang juga presiden Umno, memberitahu demikian sewaktu mengadakan pertempuan dengan ahli jawatankuasa Umno Kubang Pasu, Kedah, di pejabatnya di Putra Jaya.
Dr Mahathir akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan kepada timbalannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas tempoh peralihan selama 16 bulan sehingga Oktober tahun depan.
"Perpaduan dalam parti adalah amat penting bagi saya. Saya mahu parti menjadi kuat. Tidak gunanya kita berlawan untuk mendapatkan jawatan dalam parti, tetapi kalah dalam pilihanraya," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Sebulat suara
Ditanya sama ada kenyataan Dr Mahathir itu bermakna tidak akan berlaku pertandingan bagi jawatan timbalan presiden, Taib berkata: "Itu mengikut pandangan anda...anda boleh membuat andaian sendiri mengenai kemungkinan itu".
Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak juga mengamalkan tradisi yang sama ketika melantik Tun Dr Ismail Abdul Rahman, dan kemudiannya Tun Hussein Onn, sebagai timbalannya dalam parti dan kerajaan, kata Taib lagi.
Selepas Hussein bersara pada 1981, Dr Mahathir telah dilantik sebagai penggantinya. Perlantikan Dr Mahathir kemudiannya disahkan sebulat suara dalam perhimpunan agung Umno pada bulan Julai tahun yang sama.
Ketika itu Dr Mahathir adalah salah seorang daripada tiga naib presiden Umno. Yang dua lagi ialah Tun Ghafar Baba and Tengku Razaleigh Hamzah.
Walaupun proses peralihan kuasa daripada Hussein kepada Dr Mahathir berjalan lancar, tetapi berlaku perebutan kuasa untuk jawatan timbalan presiden di antara Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Hitam dan Razaleigh, yang ketika itu merupakan menteri kewangan.
Walaupun Mahathir telah menyatakan beliau bersikap berkecuali dalam pertandingan antara Musa dan Razaleigh
(kiri)
, tetapi ianya bukan rahsia bahawa Mahathir sebenarnya menyokong Musa. Dalam pertandingan itu, Musa mendapat 722 undi untuk menewaskan Razaleigh yang memperolehi 517 undi.
Tengku Razaleigh Hamzah
Malah, memang diketahui umum bahawa ketika Hussein menjadi perdana menteri ketiga selepas Tun Razak meninggal dunia di London kerana mengidap penyakit luekemia pada Januari 1976, beliau pada mulanya mahu melantik orang kuat Tun Razak, Tan Sri Ghazali Shafie sebagai timbalan perdana menteri, walaupun beliau bukan naib presiden parti.
Berikutan itu, ketiga-tiga naib presiden ketika itu Ghafar, Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir telah menemui Hussein dan mahu beliau memilih calon bagi jawatan timbalan perdana menteri dari kalangan naib presiden parti.
Akhirnya Dr Mahathir, yang menduduki tempat ketiga dalam perebutan jawatan naib presiden Umno pada tahun 1976, telah dipilih sebagai timbalan perdana menteri.
Sehubungan itu, apabila Dr Mahathir memilih Abdullah sebagai timbalan perdana menteri pada bulan Januari 1999, beliau juga bukanlah merupakan naib presiden yang memperolehi undi tertinggi dalam pemilihan parti pada 1996.
Undi tertinggi diperolehi oleh Najib sebanyak 1,483 undi, diikuti Abdullah (1,053), dan Taib (1,045).
Dalam pemilihan tahun 2000 selepas Abdullah disahkan oleh perhimpunan agung Umno sebagai timbalan presiden parti, Najib sekali lagi mendapat undi tertinggi sebanyak 1,289 undi, diikuti Taib 853 undi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin 813 undi.
Sebagai naib presiden yang memperolehi undi tertinggi, besar kemungkinannya Najib akan diberi peluang untuk mengisi jawatan timbalan presiden Umno dan sekaligus dilantik sebagai timbalan perdana menteri sekiranya tidak berlaku pemilihan bagi jawatan berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.