Kerajaan Msia-Singapura perlu selesai setiap isu berbangkit: Keadilan
Bagi menjamin hubungan baik yang berterusan di antara Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara perlu mencari penyelesaian segera bagi setiap isu yang berbangkit, dan bukannya secara pakej, kata Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
"Setiap masalah perlu dilihat dari segi urutan sejarahnya serta apa-apa perjanjian atau komitmen yang telah dibuat sebelumnya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azizah, pemerintah Singapura hendaklah menimbangkan beberapa tuntutan yang dibangkitkan oleh Malaysia dalam konteks sejarah dan pertimbangan masa depan.
"Anggapan umum rakyat Malaysia ialah kurang prihatinan pemerintah Singapura dalam isu dua hala, selain pertimbangan keuntungan kewangan," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, kerajaan Malaysia perlulah lebih telus dalam mengemukakan tuntutan atau membuat bantahan kerana beberapa kenyataan dan pendirian kerajaan selama ini adalah tidak konsisten dan mudah dipertikai.
Katanya lagi, kerajaan Malaysia perlulah menjelaskan gambaran sebenar isu penambakan laut di Pulau Tekong dan kesannya ke atas alam sekitar dan nasib para nelayan.
"Kebimbangan Malaysia tentulah berasas kerana penambakan tersebut boleh memberi kesan kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas yang kini mampu menyaingi Pelabuhan Singapura," katanya.
Mengalih perhatian
Malangnya, kata Wan Azizah, kerajaan Malaysia masih lagi belum mengemukakan keterangan dan fakta berkaitan hakisan walaupun telah berbulan-bulan heboh dengan bantahan.
Begitu juga, Kedilan berpendapat Singapura hendaklah memaklumkan kepada rakyat negara ini akan kesan mendalamkan laut kepada nelayan walaupun berhak untuk menambak pulaunya.
"Bagi mengelak kekeliruan lain yang mungkin timbul, maka kenyataan kerjasama nanti perlu mencakupi beberapa isu lain termasuk rumah api Pulau Pisang, ruang udara, dan kedudukan jambatan kedua," ujar beliau.
Oleh itu, Wan Azizah mengingatkan agar 'gerombolan politikus sempit' tidak akan menggunakan isu diplomatik kedua negara dikorbankan demi mengalih perhatian rakyat terhadap masalah kusut dalam negara.
"Parti Keadilan berharap agar perundingan antara kedua-dua negara Ogos nanti dapat menghasilkan kesimpulan yang menjamin kepentingan bersama," katanya.
Kelmarin, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mengkaji semula harga bekalan air sedia ada secara berasingan daripada pakej isu lain.
Persetujuan itu dicapai selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Pakej Isu-Isu Antara Malaysia dan Singapura selama dua hari yang berakhir pada 2 Julai lalu.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Singapura pula diketuai Menteri Luar republik itu, S. Jayakumar.
Dengan persetujuan tersebut, pakej isu yang tinggal untuk dibincangkan secara bersama ialah bekalan air selama 100 tahun selepas 2061, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh tentera udara Singapura.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.