Puteri Umno: PAS bimbang kehadiran kami di Pendang, Anak Bukit

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Puteri Umno yakin kehadiran pergerakan itu di kawasan pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit melalui program keluarga angkat, kini semakin membimbangkan jentera pilihanraya PAS.

Menurut Bendahari Puteri Umno Pusat, Norzalizah Alias, ini berikutan keupayaan Puteri Umno membuktikan keberkesanan sumbangannya membantu kejayaan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan, di Perlis dan Likas di Sabah.

"Oleh itu, adalah wajar apabila PAS kini memandang serius kehadiran kami di Pendang dan Anak Bukit. Mereka tidak lagi memandang rendah kepada kami," kata Norzalizah.

Katanya, Puteri Umno sudah memulakan kempen 'keluarga angkat' yang membabitkan penyertaan 500 ahli, untuk tinggal bersama pengundi di dua kawasan pilihanraya tersebut mulai semalam.

"Kehadiran kami bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga pengundi dan juga untuk memahami masalah penduduk di sana," katanya kepada malaysiakini .

Norzalizah menambah, Puteri Umno tidak memaksa mana-mana keluarga untuk menjadi keluarga angkat, kerana program tersebut dijalankan dengan persetujuan mereka terlebih dahulu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Lo' Lo' Ghazali pula menafikan bahawa kehadiran Puteri Umno merupakan ancaman kepada PAS di dalam pilihanraya kecil kali ini.

Penyalahgunaan jentera kerajaan

"Unit Puteri Umno masih terlalu kecil, dan mereka bukanlah merupakan tandingan kepada PAS," tegas beliau.

Hujahnya, apa yang membimbangkan PAS ialah penyalahgunaan jentera kerajaan yang didakwanya berleluasa setiap kali pilihanraya untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional.

"Penyalahgunaan jentera kerajaan ini merupakan suatu tindakan yang tidak adil sama sekali," kata Lo' Lo'.

Beliau mendakwa, setiap kali menjelang pilihanraya kecil, menteri kabinet yang juga merupakan wakil rakyat BN akan mula muncul di kawasan tersebut untuk melakukan pelbagai perasmian, untuk mempengaruhi pengundi.

Sementara itu, Harakah-Online pula memetik Dr Mariah Mahmud, yang merupakan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sebagai berkata semua petugas muslimat tidak akan memberi laluan sama sekali kepada Puteri Umno di Pendang dan Anak Bukit.

"Apa pun, kita jangan layan atau berlembut dengan mereka, walaupun mereka bertandang ke rumah dan jangan sekali-kali membenarkan mereka masuk," katanya.

Keadaan di Pendang dan Anak Bukit sekarang ini, katanya, ibarat satu 'peperangan besar' antara kedua-dua parti yang bertanding.

Pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit akan berlangsung pada 18 Julai depan berikutan kematian Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Mohd Noor, yang juga wakil rakyat kedua-dua kawasan tersebut, pada Jun 23 yang lalu.

Penamaan calon untuk pilihanraya tersebut ditetapkan pada Jun 10 akan datang.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In