Ancaman bom di pasar raya Carrefour di Seksyen 5, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, semalam adalah palsu selepas polis tidak menemui sebarang bahan letupan di tempat tersebut.

Ketua polis daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata unit pengesan bom mendapati tiada objek yang mencurigakan ditemui di lokasi berkenaan.

"Siasatan mengesan bom itu bermula dari pukul 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dan unit pengesan bom tidak menemui sebarang objek di situ," katanya ketika dihubungi.

Ibu pejabat pasar raya Carefour di Sri Petaling menerima emel mendakwa ada beberapa butir bom dipasang di pasar raya Carefour, cawangan Seksyen 5 Wangsa Maju, pada pukul 9 pagi semalam.

Zakaria berkata alamat emel dikesan dari kawasan sekitar Subang Jaya dan polis masih meneruskan siasatan pengirim emel berkenaan. BERNAMA