Badan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) menegaskan bahawa sebarang sekatan tidak boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang ingin membincangkan isu-isu berkaitan dengan Islam kerana agama itu bukanlah milik mutlak sesuatu pihak.

Sambil menyambut baik nasihat Majlis Raja-Raja semalam supaya rakyat lebih berhati-hati dalam menyuarakan pendapat mengenai Islam, SIS menegaskan bahawa kepelbagaian pendapat perlulah dihormati.

Dalam kenyataan hari ini, SIS berkata dalam keadaan di mana Islam semakin berpengaruh dalam membentuk semula corak kehidupan masyarakat, maka adalah tidak wajar adanya undang-undang serta dasar awam di Malaysia serta usaha untuk mengenepikan pihak yang mempunyai pandangan berbeza dan kritikal dalam perbahasan isu-isu mengenai Islam.

Badan NGO itu menyifatkan sebarang sekatan terhadap perbincangan terbuka mengenainya sebagai satu pencabulan kepada salah satu prinsip Islam iaitu menghormati perbezaan pendapat (ikhtilaf) di kalangan pelbagai mazhab.

Oleh itu, katanya, adalah sesuatu yang merbahaya jika ada percubaan mempergunakan undang-undang untuk menjadikan perbezaan pendapat dalam Islam untuk memonopoli maksud dan kandungan ajaran Islam.

Majlis Raja-Raja

<.P "Dalam satu situasi di mana Islam telah menjadi begitu berpengaruh, semestinya akan wujud percanggahan pendapat akan berlaku, dan adalah tidak adil bagi mencadangkan bahawa hanya segolongan tertentu sahaja berhak untk bersuara mengenai Islam," kata SIS lagi.

Semalam, dalam satu kenyataannya, Majlis Raja-Raja mahu pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi isu-isu yang boleh yang boleh mencemarkan kesucian Islam.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua-hari dan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu.

Dalam mesyuarat itu, Majlis Raja-Raja bersetuju menerima perakuan Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam untuk menasihati mereka yang terbabit supaya berhati-hati apabila memberi pandangan mengenai Islam supaya tidak mencemari agama itu.