Kalimah Allah, JPM akan kemuka rayuan
Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan "Allah" di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.
Justeru itu, Menteri di JPM Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.
"Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".
Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Jamil Khir juga berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz "Allah" merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.
Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Sementara itu, Wanita Umno berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Jamil Khir untuk memaklumkan kebimbangan tentang implikasi keputusan mahkamah membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam penerbitan mingguan gereja Katolik.
Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan memperjuangkan dan menentukan kedudukan dan kesucian agama Islam tidak dicemarkan.
"Jika perlu kami akan memohon perkenan mengadap Tuanku Agong," katanya dalam kenyataan hari ini.

