Ezam direman 4 hari lagi hingga Selasa
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor ditahan reman selama empat hari lagi sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah beberapa akta, termasuk Akta Hasutan.
Rabu lalu, beliau telah ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini. Ezam juga disiasat di bawah Akta Polis dan Kanun Keseksaan.
Beliau ditangkap Isnin lalu selepas polis menerima dua aduan berhubung satu kenyataannya seperti dilaporkan dalam Mingguan Malaysia sehari sebelum itu.
Menurut berita muka depan akhbar itu, Ezam dilaporkan berkata "sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran setiap hari bagi menggulingkan kerajaan." Beliau bagaimanapun telah menafikan berniat berbuat demikian dalam Utusan Malaysia 5 Mac lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan petang ini selepas polis memohon tempoh lanjutan itu kira-kira pukul 1 tengahari tadi.
Ezam kelihatan dibawa keluar daripada Mahkamah Magistret Kuala Lumpur untuk ke balai polis Jalan Stadium jam 3.30 petang. Menurut sumber, Ketua Pemuda itu dalam keadaan sihat.
Sementara itu, seorang aktivis Keadilan Raja Petra Kamaruddin yang ditahan polis Selasa lalu berkata beliau gagal mengemaskini laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) kerana kata laluan yang sering digunakan tidak berfungsi hari ini.
Polis menyerbu rumah pengendali laman web itu dan merampas semua peralatan komputer Raja Petra beberapa jam sebelum beliau dibebaskan menjelang pukul 8 malam Rabu lalu.
Serbuan itu bertujuan menyiasat beberapa tulisan yang diterbitkan pada laman web FAC yang dikatakan bersifat "menghasut," antaranya mengajak orang ramai menghadiri demonstrasi.
Bagaimanapun ketika menghubungi malaysiakini hari ini, beliau tidak pasti masalah teknikal itu timbul sama ada halangan atau gangguan berpunca daripada mana-mana pihak.
Katanya, laman web itu tidak akan dikemaskini beberapa hari akan datang sehingga masalah kata laluan itu dapat diselesaikan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.