Rayuan empat orang termasuk seorang wanita yang mengaku telah keluar dari Islam, bagi mendapat pengisytiharan hak kebebasan beragama, akan didengar di Makhamah Rayuan di Kota Bharu esok.
Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad juga memberitahu bahawa mahkamah juga akan mendengar rayuan habeas corpus daripada perayu-perayu berkenaan supaya mereka dibebaskan daripada ditahan di penjara.
Mereka mengemukakan rayuan untuk mendapatkan pengisytiharan tersebut berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama manakala habeas corpus itu pula untuk mendapatkan perintah membebaskan mereka dari ditahan di penjara.
Mohamad Ya, 57; Mat Yaakob Ismail, 56; Kamariah Ali (isteri Mohamad Ya), 51; dan Daud Mamat, 62, mengemukakan rayuan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak dengan kos permohonan mereka untuk mendapatkan pengisytiharan itu, dan habeas corpus pada 24 Feb 2001.
Berikutan penolakan itu, kempat-empat mereka, masing-masing kini menjalani hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah pada 19 November 2000 yang mendapati mereka bersalah melanggar perintahnya supaya melaporkan diri dan bertaubat di pejabat Kadi kerana terlibat dengan ajaran sesat pada 1996.
Sumpah berkanun
Kempat-empat mereka kemudian membuat pengakuan sumpah berkanun di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 8 Okt 1998 di Kuala Lumpur bahawa mereka telah keluar dari agama Islam dengan kerelaan sendiri.
Semasa dibicara di Mahkamah Rayuan Syariah pada 20 Nov 2000, mereka meminta dikecualikan dari hukuman syariah atas alasan mereka bukan lagi beragama Islam, tetapi ditolak oleh mahkamah berkenaan.
Hakim Abdul Hamid bersidang bersama dua lagi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Alauddin Mohd Shariff.
Keempat-empat perayu itu diwakili oleh Peguam Haris Ibrahim, Mohana Kumar dan Jahaberdeen Mohd Yunus, manakala Kerajaan Negeri dan Kementerian Dalam Negeri diwakili Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Datuk Jalaldin Husin dan peguam dari jabatan peguam negara Othman Yusof.
Yaakub Dasan adalah wakil malaysiakini di Kelantan
