Pergaduhan: Sebahagian 147 dihadapkan ke mahkamah hari ini
Sebilangan daripada 147 lagi mereka yang ditahan bagi siasatan berhubungan pergaduhan di Jalan Kelang Lama, Petaling Jaya akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Nik Ismail Nik Yusof berkata mereka bakal disiasat atas pelbagai tuduhan, antaranya merusuh, menyerang, memiliki senjata atau menyebabkan kecederaan serius.
Menurut agensi berita nasional Bernama malam ini, Nik Ismail bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah sebenar tahanan yang akan dihadapkan ke mahkamah.
Polis telah membebaskan tujuh orang setakat ini daripada jumlah 154 yang ditahan. Nik Ismail juga berkata daripada jumlah 147 itu, sebilangannya mungkin akan dibebaskan atau ditahan reman untuk siasatan lanjut.
"Keadaan sekarang dalam keadaan terkawal dan perintah berkurung tidak diperlukan," katanya, seperti dipetik Bernama .
Pergaduhan antara dua puak di Taman Desaria akibat salah faham minggu lalu telah merebak ke kawasan sekitar Kampung Medan, Kampung Gandhi dan Taman Datuk Harun, semuanya terletak kira-kira tiga kilometer sepanjang Jalan Kelang Lama.
Polis kini mengadakan rondaan dan kawalan di semua lokasi strategik di kawasan terbabit.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.