Pemuda Keadilan buat aduan polis berhubung pendedahan bekas hakim
Pemuda Keadilan hari ini membuat aduan polis berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Mohd Ismail bahawa terdapat pihak-pihak tertentu dalam kehakiman yang cuba mengarahkannya mengenai cara untuk mengendalikan kes-kes mahkamah.
Menurut Naib Ketua Pemuda Keadilan Muhammad Zahid Md Arip, laporan tersebut dibuat di balai polis Dang Wangi pada jam 1.30 tengahari tadi dengan disertai 30 penyokong parti.
"Pemuda Keadilan berpendapat bahawa kenyataan Shaik Daud itu adalah sangat berbahaya kepada sistem kehakiman di negara ini, kerana tindakan pihak tertentu yang cuba mempengaruhi beliau dalam menjalankan tugas, boleh menjejaskan kredibiliti badan tersebut," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
"Kenyataan bekas hakim tersebut boleh membawa andaian negatif kepada kes-kes rayuan yang lain di bawah sistem kehakiman di negara ini yang turut mendapat perhatian dunia," katanya.
Oleh itu, tambahnya, Pemuda Keadilan mempersoalkan sama ada wujudnya jaminan bahawa kes-kes lain yang di dalam mahkamah rayuan tidak akan menerima nasib yang sama seperti yang pernah dilalui oleh Shaik Daud.
Sejajar dengan itu, katanya, Pemuda Keadilan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Shaik Daud kerana membuat pendedahan yang dianggap berani itu.
Dipinggirkan
"Kami turut berharap agar Shaik Daud sendiri dapat tampil ke hadapan serta membuat laporan polis mengenai adanya cubaan pihak tertentu untuk cuba campurtangan dalam urusan beliau," tambah Zahid lagi.
Dalam wawancara eksklusif dengan malaysiakini yang disiarkan pada Mei 23 lalu, Shaik Daud telah membuat beberapa pendedahan serta kritikan mengenai sistem kehakiman negara.
Bekas hakim yang bersara pada tahun lalu itu berkata bahawa beliau tidak mengendahkan sama sekali cubaan untuk mempengaruhinya itu, yang menyebabkan beliau "dipinggirkan" kerana tidak sanggup menjadi "pak turut".
Sementara itu, aduan polis yang dibuat oleh Pemuda Keadilan hari ini merupakan salah satu program yang dirancangkan berikutan pengumuman kes rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh Mahkamah Persekutuan, esok.
Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Chim dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Haidar Mohd Noor telah mendengar rayuan kes tersebut pada April 2.
Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun di atas kesalahan rasuah oleh Hakim Datuk Augustine Paul pada April 14, 1999, dan kes rayuan ini merupakan jalan terakhir beliau untuk dibebaskan.
Beliau turut dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dalam kes liwat yang berasingan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.