Suasana lengang, penduduk dengar taklimat
Seramai 300 orang penduduk Melayu dan India dari seluruh kawasan Taman Desaria berkumpul di balairaya pada pukul 4 petang tadi untuk mendengar taklimat dan nasihat daripada pihak-pihak berkuasa untuk menghentikan perbalahan sesama mereka.
Pihak berkuasa itu termasuklah polis dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Tinjauan malaysiakini petang tadi di sekitar kawasan Taman Desaria hari ini menunjukkan keadaan sudah bertambah tenang dan penduduk menggunakan kesempatan ini untuk keluar melakukan kerja seharian seperti biasa.
Bagaimanapun, keadaan lengang berbanding hari-hari biasa.
Kehadiran pasukan polis antirusuhan FRU dan polis masih ramai di kawasan itu yang mengandungi rumah setinggan, rumah panjang dan rumah teres dan pangsa kos rendah.
Perbalahan antara beberapa kumpulan dalam masyarakat Melayu dan India itu telah berlarutan sejak hari Khamis lalu. Kejadian itu dikatakan bermula selepas satu peristiwa seorang budak lelaki melastik dan memecahkan tingkap kereta. Bagaimanapun ada sumber menyebutkan ia bermula daripada insiden perkahwinan dan pengkebumian pada hari Ahad lepas, di mana dua orang cedera.
Agensi berita nasional Bernama dan badan penyiaran luar negara BBC dan CNN melaporkan setakat ini polis mengesahkan seramai lima orang mati sejak Khamis.
Penolong Ketua Polis Negara Datuk Jamil Johari dilaporkan mengesahkan 37 orang tercedera dalam perbalahan tersebut dan empat daripada mereka berada dalam keadaan tenat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (Hospital Universiti).
Jamil dipetik Bernama sebagai berkata, seorang daripada yang mati itu warganegara Indonesia.
Beliau juga menjelaskan polis sudah dapat mengawal keadaan dan sehingga 8 pagi tadi, seramai 153 orang telah ditangkap.
Tiga kejadian di luar Taman Desaria
Menurut agensi itu lagi Jamil memberitahu, antara mangsa yang cedera, tiga orang terlibat dalam tiga kejadian berasingan di luar kawasan Taman Desaria, di Jalan Gasing (Petaling Jaya) pada 8.45 pagi, Kelana Jaya pada 11.15 pagi dan satu lagi di Sungai Way pada 1.45am.
Beliau dilaporkan berkata polis percaya ketiga-tiga kejadian itu ada kaitan dengan perbalahan di Taman Desaria.
Beliau juga memberitahu media, sebanyak 96 senjata telah dirampas, antaranya bom buatan sendiri, parang, pisau, pedang samurai, kayu lastik, rantai, paip besi, cota dan kapak.
Polis juga menyeru orang ramai supaya mengikut arahan polis dan tidak mendengar khabar angin. Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan di balai polis Taman Desaria untuk mendapat maklumat lanjut melalui nombor 03-7784-1223 atau di pejabat polis daerah Petaling Jaya di 03-7955-9222 .
Jamil juga dilaporkan memberitahu seramai 692 petugas daripada pasukan polis, Rela dan pasukan kecemasan St John's Ambulance terlibat mengawal keadaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.