Calon BN, PAS di Pendang dan Anak Bukit seperti dijangka
Seperti yang diduga, Ketua Umno Bahagian Pendang Datuk Othman Abdul dipilih semula mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pendang, manakala bekas exco negeri, Datuk Zakaria Said pula dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dalam pilihanraya kecil 18 Julai ini.
Manakala PAS pula diwakili Dr Mohd Hayati Othman bagi kawasan Parlimen Pendang manakala Haji Amiruddin Hamzah bertanding di DUN Anak Bukit. Pencalonan mereka diumumkan oleh pemangku Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang.
Ketika mengumumkan nama calon BN, Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata, pemilihan mereka dibuat berdasarkan keupayaan untuk menang kerana kedua-duanya diterima rakyat di kawasan pilihanraya kecil terbabit.
Menurut agensi berita nasional, Bernama , Othman, 51, pernah menjadi ahli Perlimen Pendang selama tiga penggal mulai 1986 sebelum gagal mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum 1999 apabila tewas kepada Presiden PAS Datuk Fadzil Noor.
Zakaria, 58, pernah menjadi ahli exco Kedah selama tiga penggal mulai 1982 hingga 1995. Dalam tempoh berkenaan, Zakaria menjadi wakil rakyat kawasan Anak Bukit sebelum bertanding kawasan Parlimen Kuala Kedah pada 1995.
Othman juga merupakan bekas setiausaha parlimen Jabatan Perdana Menteri. Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan esok sebagai tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kawasan berkenaan.
Pilihanraya kecil bagi kedua-dua kawasan itu diadakan berikutan kematian Fadzil pada 23 Jun lalu.
Diterima pengundi
Sementara itu, Hadi berkata pemilihan kedua-dua calon PAS itu berdasarkan penerimaan mereka di kalangan masyarakat dan komitmen dengan perjuangan parti.
Dr Mohd Hayati, 44, adalah seorang doktor perubatan dan bertanding buat pertama kali dalam pilihanraya. Lulusan Universiti Kebangsaan, beliau kini mengendalikan sebuah klinik di Pendang.
Amiruddin, 40, pula adalah seorang jurutera dan pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihanraya umum lalu tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Abu Bakar Taib.
DUN Anak Bukit mempunyai 19,399 pengundi terdiri daripada 16,889 Melayu(87.06 peratus), 2,151 Cina (11.09 peratus), 290 India (1.49 peratus) dan 69 kaum lain(0.36 peratus).
Bagi kawasan Parlimen Pendang, terdapat 53,128 pengundi dengan pengundi Melayu 46,630 (87.77 peratus), Cina 3,403 (6.4 peratus), India 487 (0.92 peratus) dan kaum lain 2,608 (4.91 peratus).
Dalam pilihan raya umum 1999, Parlimen Pendang mempunyai 53,388 pengundi sementara DUN Anak Bukit mendaftarkan 19,723 pengundi.
Sebanyak 44 saluran mengundi akan dibuka di DUN Anak Bukit dengan diawasi 230 petugas dan di Parlimen Pendang sebanyak 120 saluran mengundi dengan 590 petugas.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now