Keputusan rayuan kes murtad selepas 17 Julai
Keputusan rayuan sepasang suami isteri dan dua lelaki lain yang mengaku telah keluar dari Islam, untuk mendapat pengisytiharan hak kebebasan beragama di Makmahan Rayuan di sini hari ini akan diketahui selepas 17 Julai ini.
Ini berikutan perbicaraan satu lagi kes rayuan 'habeas corpus' oleh perayu-perayu itu supaya mereka dibebaskan dari tahanan di penjara Pengkalan Chepa, yang dijadualkan berlangsung di sini esok, ditangguhkan kepada 17 Julai di Kuala Lumpur.
Dalam rayuan itu, Mohmad Ya, 57, isterinya Kamariah Ali, 51; Mat Yaakob Ismail, 56, dan Daud Mamat, 62, menamakan Kerajaan Negeri dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden pertama dan kedua.
Mohamad Ya dan Kamariah adalah bekas guru agama, manakala Mat Yaakob dan Daud masing-masing bekerja sendiri.
Dalam kes rayuan untuk mendapatkan deklarasi, Kerajaan Negeri diwakili Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan, Jalaldin Husin manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Azhar Abdullah mewakili Kementerian Dalam Negeri dalam kes habeas corpus.
Peguam-peguam yang mewakili perayu-paryu itu pula terdiri daripada Haris Ibrahim, Mohana Kumar dan Jahaberdeen Mohd Yunus.
Deklarasi mahkamah
Mahkamah menangguhkan pebicaraan kes habeas corpus itu setelah diberitahu oleh Jalaldin bahawa peguam kanan Azhar tidak dapat hadir kerana mengendalikan satu kes lain di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur.
Oleh itu, Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad yang mendengar kes itu bersama Hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Alauddin Mohd Sharif, berkata keputusan kes rayuan deklarasi itu akan diumumkan serentak selepas kes habeas corpus selesai didengar kelak.
Dalam perbicaraan kes deklarasi hari ini, peguam Haris meminta mahkamah mengisytiharkan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan diterimapakai dalam menentukan hak seseorang rakyat negara ini memilih dan mengamalkan agama.
Beliau juga mempertikaikan bahawa Seksyen 102 (1) Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) 4/94 tidak boleh digunakan bagi menghalang seseorang memilih agama kerana ia dikatakan bertentangan dengan Perkara 11 (1) Perlembagaan negara.
Haris berhujah bahawa jika terdapat percanggahan di antara undang-undang negeri dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri akan terbatal.
Sementara itu, Jalaldin, dalam hujah balasnya pula berkata, Seksyen 102 Enakmen MAIK tidak menyekat seseorang dalam memilih sesuatu agama, tetapi cara yang dilakukannya mestilah mengikut prosedur yang ditentukan.
Pengakuan bersumpah
Beliau juga menghujah kalau pihak perayu mahukan mahkamah mengisytiharkan Seksyen 102 Enakmen MAIK itu bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, maka permohonan mereka haruslah dibuat di Mahkamah Persekutuan dan bukannya di Mahkamah rayuan seperti ini.
Keempat-empat perayu itu mengemukakan rayuan tersebut terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak dengan kos permohonan mereka untuk mendapatkan pengisytiharan itu dan habeas corpus pada 24 Feb 2001.
Ekoran penolakan itu, mereka masing-masing kini menjalani hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah pada 19 Nov 2000 selepas didapati bersalah melanggar perintahnya supaya melapor diri dan bertaubat di pejabat Kadi kerana terlibat dengan ajaran sesat pada 1996.
Keempat-empat mereka kemudian membuat pengakuan sumpah berkanun di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur pada 8 Okt 1998 bahawa mereka telah keluar dari agama Islam dengan kerelaan sendiri.
Semasa dibicarakan di Mahkamah Rayuan Syariah pada 20 Nov 2000, mereka meminta dikecualikan dari hukuman syariah atas alasan mereka bukan lagi beragama Islam, tetapi ditolak oleh mahkamah tersebut
Yaakub Dasan adalah wakil malaysiakini di Kelantan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.