Zam sedia kaji permohonan kad akhbar malaysiakini
Permohonan kad perakuan akhbar malaysiakini yang ditolak tahun lalu akan diteliti semula oleh kerajaan, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin hari ini.
Dalam pertemuan dengan malaysiakini di pejabatnya pagi tadi, Zainuddin menggesa akhbar web ini melaporkan "berita yang lebih seimbang" dan mengurangkan kritikan keras terhadap kerajaan.
"Kita tidak minta malaysiakini sokong kerajaan. Tetapi cara laporan malaysiakini memberikan gambaran seperti media asing," katanya, sambil merujuk dua tulisan dalam akhbar web ini.
Satu tulisan mengkritik pelaksaan dasar bahasa kebangsaan yang didakwa ditulis oleh bekas wakil rakyat DAP James Wong Wing On dan satu lagi mengkritik dasar kebebasan akhbar kerajaan yang ditulis editor berita, Fathi Aris Omar.
Bagaimanapun editornya Steven Gan berhujah malaysiakini gagal mendapatkan pandangan kerajaan kerana tidak mendapat reaksi atau ulasan daripada pihak berkenaan.
"Kami sukar mendapat kenyataan polis, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan kami sering kali dilarang menyertai sidang-sidang akhbar menteri," kata Steven.
Bagaimanapun Zainuddin berkata beberapa wartawan daripada akhbar lain masih tidak mempunyai kad akhbar tetapi mereka masih boleh membuat liputan majlis-majlis rasmi. Bekas wartawan veteran itu juga mempertahankan sikap kerajaan yang masih mengamalkan sedikit sebanyak kebebasan akhbar.
April tahun lalu, Timbalan Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam kementerian Razali Aziz berkata syarikat akhbar internet perlu mempunyai permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum diberikan kad akhbar.
Beliau memberikan penjelasan sedemikian selepas kementerian itu menolak permohonan malaysiakini untuk mendapatkan kad itu pada 17 April.
Tindakan undang-undang
Bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin memberitahu malaysiakini sehari selepas itu, KDN belum menetapkan sebarang dasar atau garis panduan berhubung hal itu.
"KDN hanya keluarkan permit kepada sesuatu (bahan terbitan) yang boleh dipegang, dibawa dan disebarkan dengan nyata, tetapi (bahan terbitan di) Internet sebaliknya," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.
Dalam pertemuan lebih sejam di kementerian, kedua-dua pihak juga membincangkan isu laporan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mendakwa Steven mendapat anugerah kebebasan akhbar kerana membuat laporan palsu berhubung kematian di kem tahanan pendatang asing di Semenyih, Selangor.
Malaysiakini menggesa RTM membuat pembetulan atau penjelasan terhadap laporan itu yang didakwa tidak benar. Menurut Steven, laporan stesen televisyen itu merujuk satu kes lain yang berasingan di tempat yang sama. ([#1] Demonising malaysiakini [/#], 16 Feb)
Ketua pegawai eksekutif Premesh Chandran yang turut hadir berkata malaysiakini akan mengambil kira pertemuan hari ini sebelum menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.
Zainuddin berkata beliau akan meneliti perkara-perkara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.