Umno lancar program dekati semula rakyat
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata program Juara Rakyat dilancarkan hari ini untuk mendekati semula rakyat yang menolak mereka dalam pilihan raya umum 2008.
"Jangan sesekali kita lupa dan lalai bahawa kedudukan kita sekarang semata-mata atas kehendak dan restu rakyat," katanya lagi.
Berucap merasmikan program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bukit Sentosa di Hulu Selangor, Najib yang juga perdana menteri berkata:
"Kami dengar dan terima bahawa rakyat beri teguran dan teguran itu kami akan hayati, bukan setakat dengar sahaja".
Najib berkata, program tersebut yang bertujuan mendekati semula rakyat, akan dijalankan berterusan setiap bulan di seluruh negara.
Katanya, program Juara Rakyat akan dijalankan berterusan setiap bulan di semua bahagian Umno.
"Tiap-tiap bulan mesti buat program Juara Rakyat," katanya di majlis pelancaran program itu yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang.
Gerak Umno bahagian
Jelasnya, program berkonsep ekspo itu bertujuan untuk menggerakkan Umno di semua bahagian Umno di seluruh negara dengan menggunakan beberapa tema yang ditetapkan.
"Kita mestilah sentiasa dapat merasai denyut nadi rakyat melalui usaha-usaha yang dilakukan supaya kita mesra dengan rakyat," katanya lagi.
Tambahnya, nama program Juara Rakyat itu sendiri itu sendiri dipilih atas keinsafan mereka terhadap isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi semasa pilihan raya umum 2008.
"Kami terima dan insaf bahawa rakyat adalah kuasa keramat. Kami dengar dan terima bahawa rakyat beri teguran dan teguran itu kami akan hayati, bukan setakat dengar sahaja," katanya yang menjelaskan bahawa kesedaran itu timbul hasil pemerhatiannya ke atas pencapaian parti LDP di Jepun.
Katanya, menurut sejarah, LDP merupakan parti yang lama memerintah dan banyak berjasa tetapi ditolak oleh masyarakat negara itu dalam pilihanraya sebelum ini.
Katanya, beliau berpeluang untuk bertanya sebab kekalahan LDP di negara itu kepada Encik Hotoyama (perdana menteri Jepun yang baru) dalam satu mesyuarat ASEAN.
Nasib LDP
"Ringkas saja jawapan (Hotoyama): LDP sudah tidak lagi dekat di hati rakyat," katanya yang mengakui jawapan tersebut masih lagi "terngiang-ngiang di telinganya."
"Jadi jangan sesekali kita lupa dan lalai bahawa kedudukan kita sekarang semata-mata atas kehendak dan restu rakyat," katanya dalam program yang turut dihadiri pemimpin tertinggi Umno dan BN itu.
Beliau juga menyeru kepada pemimpin-pemimpin Umno supaya pemimpin bahagian Umno supaya "rajin turun ke padang" untuk membolehkan pencapaian mereka dinilai oleh rakyat.
"Saya sudah lama dalam politik, tak perlulah melobi-lobi. Kalau rakyat suka dia, nama dia naik," katanya merujuk kepada pemimpin yang lebih rajin membodek daripada menjalankan tugas mereka.
Najib dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan 15.6 juta untuk baiki 5,000 pangsapuri penduduk di kawasan itu.
Katanya lagi, peruntukan itu perlu bagi membaiki pangsapuri berkenaan yang disifatkannya "seperti rumah berhantu."
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Najib turut mengulas kempen "Umno Pengkhianat Rakyat" yang dilancarkan PAS, dan menyifatkan kempen seperti itu sebagai satu bentuk negatif.
"Itu kempen cara dia. Kita tak kempen cara negatif, tapi kita nak tumpu rekod prestasi kita setiap masa," katanya lagi.

