Pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada 18 Julai ini akan merupakan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Sehingga pencalonan ditutup pada jam 11 pagi tadi, hanya calon BN dan dan PAS mengemukakan borang pencalonan bagi pilihanraya kecil di kedua-dua kawasan berkenaan.
Datuk Othman Abdul
(kiri)
dari BN dan Dr Mohamed Hayati Othman
(kanan)
dari PAS masing-masing mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi Parlimen Pendang.
Datuk Zakaria Said (BN)
(kiri)
dan Amiruddin Hamzah (PAS)
(kanan)
pula mengemukakan borang pencalonan bagi DUN Anak Bukit.
Pertandingan bagi kerusi Anak Bukit adalah penting bagi BN untuk mengembalikan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi lapan daripada 15 kerusi Parlimen, dan 12 daripada 36 kerusi DUN. Manakala Keadilan memenangi pilihanraya kecil bagi kerusi Lunas, untuk menafikan BN majoriti dua pertiga di Kedah.
Di pusat penamaan calon DUN Anak Bukit di Auditorium Bernas, Anak Bukit, penamaan calon berjalan lancar walaupun ribuan penyokong BN dan PAS basah kuyup berikutan hujan lebat pagi tadi.
Hujan lebat
Penyokong kedua-dua pihak, yang dianggarkan kira-kira 2,000 orang, tidak berganjak dari kawasan yang ditetapkan.
Penyokong PAS diketuai Naib Presiden parti Datuk Mustafa Ali, manakala BN diketuai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.
Pemimpin PAS yang turut hadir ialah Murshidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Dr Hasan Ali dan ahli-ahli parlimen PAS yang lain.
Bagi pihak BN pula, turut hadir di pusat penamaan calon itu ialah Setiausaha Agung parti Tan Sri Khalil Yaakob, serta menteri besar Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon dan Menteri Besar Melaka Datuk Wira Ali Rustam.
Sementara itu, calon PAS bagi kerusi Anak Bukit, Amiruddin, memberitahu pemberita bahawa ia bukanlah merupakan satu pertandingan peribadi, tetapi untuk memastikan PAS terus mempertahankan kerusi Anak Bukit.
"Malahan, PAS akan berusaha mendapatkan majoriti lebih besar untuk membuktikan kepada rakyat bahawa PAS membawa kesejahteraan kepada semua," kata Amiruddin yang juga seorang jurutera.
Sementara itu, calon BN, Zakaria, menyatakan keazamannya untuk merampas kembali kerusi Anak Bukit untuk mengembalikan majoriti dua pertiga bagi kerajaan Barisan Nasional Kedah.
Majoriti dua pertiga
Bekas guru yang sudahpun mempunyai enam orang cucu itu, pernah memenangi kerusi Anak Bukit untuk tiga penggal berturut-turut sejak 1982, sehingga beliau melepaskan kerusi tersebut untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 1995.
Pada pilihraya umum 1999, bekas ketua bahagian Umno Kuala Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding bagi mana-mana kerusi.
Sementara itu, di Pendang, penyokong BN dan PAS juga tidak menghiraukan hujan lebat sejak awal pagi ketika mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pendang di SMK Pendang.
Othman dari BN tiba di Pusat Penamaan Calon di Sek Men Keb Pendang pukul 9.45 pagi, lima minit selepas Dr Mohamed Hayati dari PAS tiba.
Pilihanraya kecil bagi kedua-dua kawasan itu diadakan berikutan kematian Presiden PAS Datuk Fadzil Noor pada 23 Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintas jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.
