BERITA

Nik Aziz dituduh terima kek RM500

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jan 2010, 10:41 pagi

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat terus menerima asakan Umno, kali ini didakwa menerima hadiah kek, seberat 10 kg bernilai lebih RM500, daripada menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Ketua pegawai eksekutif PMBK Abdul Ariffahmi Ab Rahman, ketika menjawat ketua pegawai operasi perbadanan itu, meluluskan pembelian enam kek bernilai lebih RM3,000 September lalu kepada enam pihak, kata ketua penerangan Umno negeri.

"Isunya bukan pada harganya tetapi bagaimana (beliau) beli hadiah untuk diri sendiri dan bapa mertua? Tidak bolehkah guna duit poket sendiri?

"(Perkara) ini saya fikir mungkin penyelewengan yang paling kecil berbanding dengan yang lain-lain, macam jerawat kecil yang sudah pecah," kata Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang juga ADUN Kok Lanas, kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, satu pihak yang enggan dinamakannya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

"Perkara ini telah pun dilaporkan kepada mereka daripada seseorang (pemberi maklumat)," kata Md Alwi, sambil menggesa suruhanjaya itu menyiasat perkara berkenaan dengan segera.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada Abdul Ariffahmi setakat ini belum berhasil.

Nik Aziz sebelum ini dipertikaikan berhubung pelantikan menantunya itu sebagai peneraju PMBK Oktober tahun lalu sehingga memaksa campur tangan beberapa pemimpin kanan PAS.

Susulan itu, Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan tersebut berkuatkuasa 23 Mac ini.

Pada 13 November lepas, suruhanjaya itu turut dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nik Aziz dan keluarganya mendapat tajaan haji daripada seorang ahli perniagaan yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Menteri besar itu bagaimanapu membatalkan hasratnya ke tanah suci selepas media memainkan isu tersebut.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.