Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu dan diramalkan berlarutan sepanjang seminggu ini mendorong Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada hari pengundian pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit pada 18 Julai ini.
Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca juga meramalkan bahawa hujan lebat pada sebelah awal pagi manakala di sebelah petang diramalkan cerah sepanjang tempoh berkenaan.
Agensi berita nasional, Bernama memetik Pegawai Pilihanraya Kedah/Perlis, Mohamad Yusoff sebagai berkata SPR mengenal pasti beberapa pusat pengundian alternatif sekiranya berlaku banjir di pusat pengundian sedia ada.
Katanya, SPR sedang memantau keadaan cuaca di kedua-dua kawasan pilihanraya kecil itu supaya persiapan awal dapat dibuat bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari berkenaan sama ada banjir ataupun tidak.
Sementara itu, polis akan membuat rondaan siang dan malam di setiap kampung dan kawasan yang terlibat dengan pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit sepanjang tempoh kempen bagi menjamin keamanan dan keselamatan.
Pegawai Perhubungan Media Polis Kontinjen Kedah, DSP Zainuddin Zainal berkata polis menggerakkan 2,711 anggota dan pegawai mulai hari penamaan calon semalam sehingga pengundian 18 Julai ini di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.
Tiada hubungan
Pertandingan bagi kedua-dua kerusi itu melibatkan calon Barisan Nasional dan Pas. Zainuddin berkata polis akan memantau setiap aktiviti termasuk ceramah dalam tempoh itu.
Katanya sehingga malam tadi Barisan Nasional telah menjalankan 25 aktiviti ceramah dan PAS 12 ceramah.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh berkata DAP tidak akan memberi sebarang bantuan atau kerjasama kepada PAS dalam pilihanraya kecil Anak Bukit dan Pendang kerana parti itu sudah putus hubungan dengan PAS.
Katanya, DAP tidak dapat membantu PAS kerana membantah tindakan kerajaan pimpinan PAS di Terengganu meluluskan hukum Hudud baru-baru ini.
"Walaupun kami telah membantah Hudud, tetapi kerajaan Terengganu tetap meluluskannya...disebabkan keadaan itu, kami tidak akan membantu PAS", katanya.
Karpal berkata DAP hanya akan "tunggu dan lihat" pada pilihanraya kecil di kedua-dua kawasan itu pada 18 Julai ini. Beliau juga mengingatkan semua anggota DAP supaya menghormati keputusan parti dan tidak memberi bantuan kepada PAS
Kerja keras
Dalam perkembangan yang berkaitan, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, berkata masyarakat India di Pendang dan Anak Bukit sudahpun menentukan undi mereka untuk calon BN pada 18 Julai ini.
Beliau berkata walaupun bilangan pengundi dari keturunan itu amat kecil, namun undi mereka boleh menjadi "undi penentu" kepada kemenangan BN di kedua-dua kawasan berkenaan.
Katanya, setakat ini terdapat 487 pengundi India daripada 53,128 pengundi di Parlimen Pendang dan 290 orang daripada 19,399 pengundi di DUN Anak Bukit. Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula berjanji akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon BN.
"Saya akan datang lagi ke sini dan sentiasa akan bersama-sama saudara dan saudari sekerap yang mungkin untuk sama-sama bekerja bagi kemenangan parti kita," katanya semasa berucap di hadapan penyokong-penyokong BN di Markas BN Bukit Raya di sini petang semalam.
Katanya, tanda-tanda kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini sudah nampak jelas dengan komitmen semua jentera parti bagi membantu kempen tetapi ia akan dicapai hanya dengan kerja keras tanpa mengira penat lelah.
