Pemantau AS pandang berat insiden serang gereja
Badan pemantau kerajaan Amerika Syarikat mengenai kebebasan beragama hari ini menegaskan ia memandang berat insiden serangan ke atas gereja di Malaysia.
Ia juga menegaskan respons para pemimpin kita amat penting dalam membentuk masa depan negara ini.
"Kami amat memandang berat apa yang berlaku di Malaysia, kerana serang bom api ke atas gereja telah menggugat keseimbangan politik dan etnik di Malaysia," kata pengerusi suruhanjaya antarabangsa Amerika Syarikat mengenai kebebasan agama, Leonard Leo.
"Bagaimana cara pemimpin Malaysia menangani perkara ini akan menentukan masa depan politik dan ekonomi negara ini," katanya.
Suruhanjaya tersebut, yang mengesyorkan dasar-dasar kepada kerajaan Amerika Syarikat, dianggotai mereka yang dilantik oleh presiden dan Kongres.
Sembilan gereja di Malaysia menjadi sasaran serangan dan vandalisme selepas Mahkamah Tinggi membenarkan pada 31 Disember lalu penerbitan gereja menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan "God".
Keputusan itu memihak kepada mingguan Katholik, Herald , yang mahu menggunakan perkataan Allah dalam bahagian bahasa Malaysianya selepas dilarang kementerian dalam negeri (KDN).
Bagaimanapun, KDN telah memperolehi perintah mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut, sementara menunggu rayuannya didengar.

