Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

SPRM sedia temui Bala di mana saja...

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menemui penyiasat persendirian P Balasubramaniam sama ada di dalam

atau di luar negara bagi merakamkan keterangan berhubung dakwaannya ditawarkan RM5 juta bagi menarik akuan bersumpahnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed berkata Balasubramaniam perlu tampil untuk memberi keterangan sebagai saksi utama bagi memastikan siasatan lengkap dapat dijalankan.

"Kita bersedia untuk berjumpa Bala di mana sahaja... dari segi fasiliti tak ada masalah, sama ada di dalam atau di luar negeri, kita akan bersetuju," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan siasatan berhubung rakaman cakera padat (CD) yang dikatakan mengandungi lapan perkara mengenai penyiasat persendirian kepada penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda itu.

Antara lapan perkara yang terdapat dalam CD itu ialah isu wang RM5 juta bagi mendorong Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai 2008, ugutan terhadap keluarganya, penerimaan RM750,000 oleh Balasubramaniam dan RM800,000 kepada keluarganya termasuk paksaan akuan sumpah yang disediakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata Balasubramaniam hanyalah saksi dan bukannya orang yang dituduh, jadi beliau tidak perlu merasa takut untuk membantu siasatan dakwaan tersebut.

"Saya seru kepada Bala supaya datang kepada kita, jangan takut kerana beliau hanyalah saksi bukannya orang yang nak dituduh," katanya pada sidang media yang sama.

Ditanya lebih lanjut sama ada SPRM mengambil langkah untuk menjejaki lelaki itu, Shukri memaklumkan pihaknya sedang berusaha mendapatkan keterangan Balasubramaniam.

"Saya tidak perlu beritahu lebih lanjut proses untuk kita mendapatkan keterangan beliau, tapi kami sedang berusaha untuk mendapatkan kenyataannya... sehingga kini masih belum jumpa lagi," katanya.

Balasubramaniam mengundang kontroversi apabila pada 3 Julai 2008 muncul dan mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun keesokannya, beliau menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua dalam satu sidang media sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya.

- Bernama