PAS cuba perbodohkan orang kampung: Taib
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhamad Muhd Taib berkata PAS cuba 'memperbodoh-bodohkan' orang Melayu di kampung dengan meluluskan rang undang-undang hudud PAS di Terengganu walaupun pemimpin parti itu tahu ia tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan pusat.
"Sebenarnya hudud merupakan isu politik yang dimainkan oleh PAS. Macam mana ia hendak dilaksanakan oleh PAS jika polis tidak mahu terbabit dengan penguatkuasaannya," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Katanya, jika PAS mahu melaksanakan hudud yang dirangka oleh parti itu, ia perlu menguasai dua pertiga daripada 195 kerusi Parlimen.
"Oleh kerana PAS tidak menguasai Dewan Rakyat, bermakna parti itu tahu bahawa undang-undang hudud parti itu tidak boleh dilaksanakan, terutama apabila parti pembangkang lain, seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut menentang pelaksanannya.
"Ini menunjukkan parti itu hanya hendak main-main sahaja. Apakah mereka hendak perbodoh-bodohkan orang Melayu. Inilah cara PAS hendak menipu orang kampung bagi mendapatkan undi," kata Taib yang juga penyelaras BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit.
Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat bagi kedua-dua berkenaan, yang juga Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor pada 23 Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintas jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Taib juga mengingatkan bahawa kerusi Parlimen yang dimenangi oleh orang Melayu dari Umno, PAS dan Keadilan semuanya hanya berjumlah 104 -- iaitu 72 Umno, 27 PAS dan lima Keadilan.
Parti komponen
"Jumlah itu tidak mencukupi untuk mendapatkan penguasaan dua pertiga (129) di Dewan Rakyat. Dalam keadaan sedemikian, bagaimana undang-undang hudud PAS hendak dilaksanakan jika ianya tidak mendapat sokongan daripada bukan Melayu," tegasnya.
Menurut Taib lagi, walaupun BN mempunyai 151 kerusi Parlimen untuk penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen, Umno hanya 72 kerusi Parlimen manakala baki 79 kerusi lagi adalah sumbangan 12 lagi parti komponen dalam BN.
"Oleh itu, Umno sentiasa mengadakan perbincangan dengan semua parti komponennya dalam BN bagi mendapatkan kata sepakat dalam apa juga hal yang membabitkan kepentingan rakyat," katanya.
Bagi mengalih perhatian pengundi daripada isu hudud itu, Taib berkata, PAS kini sengaja mendakwa terdapat masalah dalaman Umno sehingga menjejaskan kelancaran jentera BN bagi pilihanraya kecil di Pendang dan Anak Bukit.
"Sebelum ini pun, PAS cuba melakukan perkara yang sama, sewaktu berlangsungnya pilihanraya kecil DUN Indera Kayangan (Perlis), Likas (Sabah) dan Ketari (Pahang)," tegasnya.
Ditanya sama ada, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap tuduhan penyalahgunaan kuasa dan hukuman enam tahun penjara ke atasnya, Taib berkata: "Kes itu tidak ada kena mengenai dengan kita... ini hal mahkamah dan kita terima keputusan mahkamah itu."
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now