Kemenangan di Anak Bukit bakal semarak penguasaan PAS di Kedah
Calon PAS bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Amiruddin Hamzah, 40, bukan sahaja yakin untuk mempertahankan kerusi tersebut malah berharap kemenangan tersebut akan menyemarakkan lagi penguasaan parti itu di Kedah.
"Saya akui bahawa piliharaya kecil di Anak Bukit dan Pendang ini adalah kritikal, kerana ia akan menjadi petanda sama ada rakyat masih lagi melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang relevan untuk mereka, bukan sahaja di Kedah, tetapi di seluruh negara," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Selain itu, kata Amiruddin, keputusan di Anak Bukit dan Pendang juga akan turut menjawab persoalan sama ada generasi muda, yang tidak dapat mengundi pada pilihanraya umum 1999, akan memilih untuk bersama pembangkang ataupun kerajaan.
Bekas jurutera di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang berkelulusan ijazah Sarjana dari Universiti of Bradford, England, itu yakin untuk mempertahankan kerusi Anak Bukit berdasarkan pengaruh parti yang kuat di kawasan itu.
"Malahan, Allahyarham Datuk Fadzil Noor telah membuktikan kepada pengundi di kawasan pilihanraya DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang dengan khidmat yang sungguh cemerlang," katanya Amiruddin, yang pernah bekerja dengan beberapa syarikat swasta sebelum bekerja sendiri.
Beliau menambah bahawa Fadzil, yang memenangi kerusi Anak Bukit dan Pendang pada pilihanraya umum 1999, telah menjalankan dasar-dasar parti yang konsisten yang diterima oleh pengundi di kawasan tersebut.
Sentimen anak tempatan
Lebih penting, katanya, pengundi di Anak Bukit mesti sedar bahawa mereka sekarang mempunyai kuasa untuk terus menyekat majoriti dua pertiga yang diperolehi semula oleh kerajaan BN Kedah supaya wujudnya suatu kuasa pengimbang dalam kerajaan negeri.
"Bagi ahli-ahli PAS, mereka berusaha sepenuh hati untuk mencapai kemenangan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan bukanlah untuk mendapatkan apa-apa ganjaran seperti wang dan sebagainya," tambah Amiruddin.
"Jadi, adalah jelas bahawa BN tidak akan dapat merampas semula kawasan ini dengan mudah atas kesedaran mendalam para pengundi sendiri," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan calon BN di Anak Bukit, Datuk Zakaria Said
(kiri)
, bahawa pengundi di kawasan tersebut masih kuat dengan "sentimen anak tempatan", Amiruddin yang berasal dari Kuala Kedah berkata perkara seperti itu tidak lagi releven pada masa ini.
"Mungkin 20 atau 30 tahun lalu, pengundi akan memilih saudara mara mereka menjadi pemimpin, tetapi saya yakin pengundi di Anak Bukit terdiri dari mereka yang cukup maklumat untuk membuat pilihan siapakah yang lebih layak menjadi pemimpin mereka," kata Amiruddin.
Sambil menyangkal hujah Zakaria itu, Amiruddin berkata, Fadzil Noor sendiri tidak tinggal di Anak Bukit semasa bertanding di kawasan DUN tersebut, tetapi mampu merampas kerusi tersebut yang telah dimenangi BN sejak 1982.
Tiada fitnah
Mengenai kempen PAS yang dikatakan berbau fitnah, Amiruddin berkata adakala perkara yang pahit sukar untuk ditelan oleh sesetengah pihak dan menganggapnya sebagai fitnah.
"Mengapakah jika kita (pembangkang) membangkitkan isu pendidikan, penyalahgunaan kuasa, penyelewangan wang PPRT itu boleh dianggap fitnah?
"Sebenarnya, soal tohmahan dan fitnah langsung tidak timbul kerana PAS sekadar menyatakan kebenaran," tambah Amiruddin, yang ayahnya pernah menjadi setiausaha Zakaria.
Disoal adakah beliau, sekiranya menang, akan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada Fadzil, beliau berkata tujuannya bertanding adalah untuk mencari kemenangan yang diredhai Allah.
Mengenai calon lawan, Amiruddin mengakui bahawa beliau sudah lama mengenalinya dan saling hormat-menghormati walaupun mempunyai fahaman politik berbeza.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now