Seorang aktivis hak asasi manusia bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) cawangan Johor Bahru digugurkan daripada pertuduhan kes melaporkan maklumat palsu kepada polis.

Cheng Lee Whee sepatutnya menghadapi perbicaraan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 25 Januari ini bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan atau kesalahan membuat aduan palsu berhubung insiden pengusiran setinggan Kampung Baru Plentong Tengah pada 16 Oktober 2008.

Pejabat peguam negara dalam suratnya bertarikh 11 Januari lepas kepada NGO hak asasi terkenal itu bersetuju menggugurkan kes  Cheng, seorang sukarelawan Suaram, yang kini bekerja sebagai pengaturcara program.

"Setelah mengambil kira perkara-perkara yang dibangkitkan dan memberi pertimbangan sewajarnya kepada fakta kes ini, jabatan (peguam negara) ini bersetuju untuk menggugurkan pendakwaan terhadap orang kena tuduh," surat jabatan itu dipetik.

Pengguguran kes tersebut susulan desakan sekumpulan lebih 30 NGO dan parti politik hujung tahun lalu kepada peguam negara.