Gaduh: 183 ditahan, BA ingin temui Menteri Dalam Negeri
Polis menangkap empat lagi lelaki, termasuk tiga warga Indonesia, menjadikan jumlah 183 tahanan setakat ini sejak pergaduhan di Jalan Kelang Lama, Petaling Jaya meletus Khamis lalu.
Menurut agensi berita Bernama , tangkapan itu dibuat ekoran satu kejadian di kawasan itu jam 5 petang tadi.
Awal petang, parti-parti pembangkang menyatakan hasrat ingin menemui pemimpin Barisan Nasional bagi membincangkan isu pergaduhan ini yang bermula sejak awal minggu lalu.
Setakat laporan jam 3 petang, enam orang dilaporkan mati sepanjang kejadian terburuk itu sejak beberapa hari lalu.
Sementara 148 orang lelaki yang dihadapkan ke mahkamah ditahan reman selama dua hingga 13 hari.
Mereka disiasat lanjut berhubung kejadian itu di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh), seksyen 148 kanun yang sama (merusuh) dan seksyen 6 Akta Bahan Hakisan dan Letupan Berbahaya.
Menurut agensi berita itu lagi, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin berkata tiga kejadian di Kampung Pantai Dalam, kira-kira enam kilometer dari kawasan asal pertempuran beberapa hari lalu.
Khabar angin tentang kejadian terbaru itu telah merebak sejak malam tadi. Polis hari ini mengesahkan kejadian di situ semalam dan hari ini. Kawasan tersebut kini diawasi polis dengan sekatan jalanraya dan rondaan sejak petang tadi hingga pagi esok.
Pemimpin BA bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan perkembangan isu ini.
"Kami menganggap kejadian sangat serius dan masih belum reda," kata empat pemimpin parti pembangkang dalam satu kenyataan bersama kira-kira jam 2.30 petang.
"Kami mendapat gambaran ada sesetengah pihak cuba memandang ringan kejadian itu. Tetapi masalah itu sekarang telah menjadi besar untuk dipandang ringan."
Parti-parti BA juga mendesak pihak-pihak berwajib "mendedahkan kebenaran dengan berani."
Mereka juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad agar berhenti membuat kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai bersifat perkauman yang mungkin memburukkan keadaan.
Empat pemimpin utama yang hadir dalam sidang akhbar itu termasuklah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock.
Pergaduhan antara dua puak penduduk di Taman Desaria akibat salah faham minggu lalu telah merebak ke kawasan sekitar Kampung Medan, Kampung Gandhi dan Taman Datuk Harun, semuanya terletak kira-kira tiga kilometer sepanjang Jalan Kelang Lama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.