Peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit adalah cerah tetapi parti itu menghadapi tugas berat untuk merebut kerusi Parlimen Pendang daripada PAS Khamis ini.
Peluang BN untuk memenangi Anak Bukit adalah dalam nisbah 60:40 kerana faktor calonnya, Datuk Zakaria Said, berbanding dengan calon PAS Amiruddin Hamzah, yang bukan merupakan anak tempatan di situ.
Ini berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh malaysiakini daripada penganalisa politik bebas dan pekerja BN dan PAS di kedua-dua kawasan pilihanraya kecil berkenaan.
Kawasan yang agak sukar untuk ditembusi BN ialah DUN Bukit Raya di dalam kawasan Parlimen Pendang, yang dimenangi oleh calon PAS, Mohamed Taulan Mat Rasul, dengan majoriti besar, dalam pilihanraya umum lalu.
Dalam pilihanraya tersebut Mohamed Taulan memperolehi 13,653 undi untuk menewaskan calon BN, Abdullah Bahari (8,469 undi), dengan majoriti 5,184 undi.
Majoriti besar yang diperolehi calon PAS di DUN Bukit Raya ini merupakan sumbangan terbesar yang membolehkan Presiden PAS, Fadzil Noor, untuk memenangi kerusi Parlimen Pendang dengan majoriti 1,933 undi, dalam pilihanraya umum 1999.
Kubu kuat PAS
Dalam piliharaya itu, Fadzil memperolehi 22,413 manakala calon BN, yang sekali lagi dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kali ini, Datuk Othman Abdul, mendapat 19,474 undi.
Sebuah lagi DUN dalam Parlimen Pendang, Sungai Tiang dimenangi oleh calon BN, Md Rozai Shafian yang memperolehi 11,039 undi, untuk menewaskan calon PAS Abdullah Abdul Rahman (8,509 undi) dengan majoriti 2,530 undi.
Memandangkan kesukaran yang masih dihadapi oleh BN untuk menembusi kebanyakan kubu kuat PAS sama ada dalam DUN Bukit Raya ataupun Sungai Tiang, maka peluang untuk merampas semula kerusi Pendang dari PAS masih sukar.
Kalau berdasarkan kepada pecahan pengundi bagi kerusi Parlimen Pendang yang berjumlah 53,128, dianggarkan 55 peratus atau kira-kira 27,500 adalah di DUN Bukit Raya, manakala 45 peratus atau kira-kira 25,500 dalam DUN Sungai Tiang.
"Selain faktor kekuatan PAS, pihak Umno juga perlu tahu bahawa pergeseran dalam pucuk pimpinan Umno Pendang, nampaknya masih belum selesai sepenuhnya. Ini turut menjejaskan peluang BN menawan semula Pendang," kata sumber yang rapat dengan Umno hari ini.
Katanya, walaupun pemimpin tinggi Umno menafikan perkara itu, yang turut ditimbulkan oleh pemimpin PAS dalam ceramah pilihanraya mereka, ianya merupakan satu hakikat yang "perlu diterima oleh Umno, khususnya di bahagian Pendang".
Masalah dalaman
Dalam ceramah mereka, penceramah PAS mendakwa bahawa berlaku pergeseran di antara calon BN, yang juga ketua Umno bahagian Pendang, Othman dan timbalannya, Md Rozai.
Mereka juga mendakwa penyokong Md Rozai tidak berkerja bersungguh-sungguh untuk membantu Othman dalam pilihanraya kecil Pendang.
Sementara itu, peluang BN untuk menawan semula DUN Anak Bukit untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di DUN Kedah dianggap cerah.
Keyakinan itu berdasarkan kepada andaian bahawa kekalahan BN di DUN Anak Bukit dalam pilihanraya umum lalu adalah kerana pemilihan calon yang silap, dan ketokohan Fadzil, selaku Presiden PAS.
Dengan meletakkan Zakaria
(kiri)
sebagai calon BN kali ini, maka peluang untuk beliau memenangi DUN Anak Bukit adalah cerah, di samping calon PAS yang mempertahan DUN berkenaan tidak terkenal.
DUN Anak Bukit terletak kawasan Parlimen Kuala Kedah yang dimenangi oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.
Dua lagi DUN dalam parlimen berkenaan ialah Kubang Rotan, yang dimenangi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, manakala satu lagi DUN, Pengkalan Kundor dimenangi oleh calon PAS Phahrolrazi Mohd Zawawi.
