Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Dua pelajar UM dikesan berkempen di Pendang dan Anak Bukit: Musa
Published:  Jul 16, 2002 9:41 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Dua ahli exco Persatuan Kebajikan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (UM) telah dikesan berkempen untuk parti pembangkang dalam pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit yang akan berlangsung Khamis ini.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , kehadiran kedua-dua pelajar itu dikesan oleh jawatankuasa pemantauan Kementerian Pendidikan yang ditubuhkan bagi mengawasi pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak terlibat dalam sebarang kempen pilihanraya,.

Berikutan itu, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad berkata kedua-dua pelajar Universiti Malaya itu telahpun diarah meninggalkan serta-merta kawasan Pendang dan Anak Bukit.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Tobiar, di Pendang, Kedah hari ini, beliau berkata pelajar-pelajar IPTA yang terlibat dalam kempen pilihanraya akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagaimanapun, Musa tidak menjelaskan secara terperinci butir-butir peribadi pelajar terbabit dan bagaimana penglibatan mereka dalam kempen pilihan raya itu.

Keselamatan terkawal

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, polis melarang parti-parti politik menggunakan kenderaan berat untuk mengangkut penyokong dan pengundi ke pusat pengundian Khamis ini.

Pegawai Perhubungan Media Polis Kontinjen Kedah untuk pilihanraya kecil itu, DSP Zainuddin Zainal berkata, langkah itu adalah bagi mengelak berlakunya kesesakan yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati pengundi dan orang ramai.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, DSP Zainuddin berkata, polis akan mula 'membersihkan' jalan-jalan raya mulai 4 petang esok bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh menjejaskan pergerakan lalulintas pada hari mengundi.

Bas dan lori-lori besar kecuali bas perjalanan harian yang mengangkut penduduk tempatan akan dilencongkan dari memasuki jalan ke kawasan mengundi, tambahnya.

Beliau mengulangi jaminan polis bahawa keselamatan pengundi terjamin dan mereka tidak perlu takut atau bimbang untuk keluar mengundi kerana keadaan keselamatan adalah terkawal.

Sementara itu, 56 ahli dan penyokong PAS dari sekitar Parlimen Pendang hari ini menyerahkan borang keahlian Umno kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kumpulan terbabit yang diketuai Khoirizal Kassim menyerahkan borang itu kepada Abdullah di majlis perletakan batu asas kompleks pejabat daerah dan tanah Pendang di sini.

Khoirizal, 31, bekas ahli jawatankuasa pemuda PAS cawangan Taman Delima, ketika ditemui pemberita berkata, beliau yakin hanya Umno sahaja yang mampu membawa pembangunan kepada rakyat.

"Saya menyertai PAS sejak 10 tahun lalu. Saya langsung tidak dapat memajukan diri ketika berada dalam parti itu," katanya.

ADS