Mansor Othman pengerusi baru Pusat Zakat PP?
Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang - jawatan yang secara tradisinya selama ini, disandang oleh yang dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Malaysiakini difahamkan bahawa MAIPP akan bermesyuarat esok bagi membincang atau memutuskan tersebut esok.
Malaysiakini
juga difahamkan bahawa hanya nama Mansor sahaja yang dicalonkan untuk mengisi jawatan tersebut.
Sejak 1994, apabila PUZ ditubuhkan, anak syarikat milik penuh MAIPP itu dipengerusikan oleh yang dipertuanya majlis itu sendiri.
Yang dipertua MAIPP sekarang ialah pensyarah sosiologi Universiti Sains Malaysia (USM) Elias Zakaria.
Manakala timbalan yang dipertua MAIPP disandang oleh pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga ADUN Permarang Pasir, Mohd Salleh Man.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan Mansor, yang dicadangkan kerajaan negeri, merupakan sesuatu yang "aneh" dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kita ada ayah sendiri (Elias), kenapa hendak ambil orang lain jadikan ayah kita?" kata sumber tersebut.
Sumber-sumber itu mendakwa bahawa pelantikan tersebut kemungkinan mempunyai motif tertentu, memandangkan pusat tersebut membuat kutipan dana lebih RM40 juta setahun.
Sumber-sumber yang rapat dengan Mansor pula memberitahu, jika benar ADUN Penanti itu dipilih dalam mesyuarat tersebut, ia tidak melanggar mana-mana undang-undang di peringkat negeri dan syarikat.
Menurutnya, perkara tersebut hanyalah perkara biasa dan tidak patut dijadikan isu.
Usaha mendapatkan komen Elias dan Mansor setakat ini belum berhasil.

