Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Keputusan pilihanraya Anak Bukit dijangka diketahui jam 8 malam, Pendang 10 malam
Published:  Jul 17, 2002 9:44 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Anak Bukit akan dapat diketahui pada jam 8 malam esok, kata Pengerusinya Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman.

Agensi berita nasional, Bernama memetik beliau sebagai berkata, keputusan pertama membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit memandangkan kawasan itu hanya mempunyai 13 pusat pengundian dengan 44 peti undi.

Katanya, keputusan pilihanraya kecil Parlimen Pendang hanya dapat diketahui selepas jam 10 malam memandangkan jumlah pengundi yang besar membabitkan 43 pusat pengundian dengan 120 peti undi.

Bercakap kepada pemberita di Bilik Gerakan SPR Kedah/Perlis di sini. Abdul Rashid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang keluar mengundi esok kerana keadaan keselamatan terkawal walaupun terdapat kehadiran ramai penyokong parti yang bertanding.

Katanya, pengundi tidak perlu bimbang dengan beberapa kejadian kecil yang berlaku sebelum ini kerana ia biasa berlaku setiap kali pilihanraya diadakan, tetapi telah digembar-gemburkan sebagai insiden yang besar.

"Kejadian seperti koyak poster telah berlaku sebelum kita merdeka lagi dan setiap kali pilihanraya berlangsung, ada saja budak-budak nakal yang diupah untuk melakukannya, mungkin setiap orang melakukannya, bukan hanya satu pihak sahaja.

SPR berharap pemimpin parti politik yang bertanding dapat mengawal penyokong mereka, terutama pada saat-saat akhir sebelum pengundian supaya tidak berlaku sebarang ketegangan.

"Lebih 30 peratus pengundi di kedua-dua kawasan ini merupakan pengundi yang berumur lebih 51 tahun dan sekiranya keadaan tidak baik, mereka tidak akan keluar mengundi," katanya.

Petisyen pilihanraya

Abdul Rashid turut menasihatkan peraih undi pada hari pengundian supaya tidak bertindak keterlaluan seperti mengugut, menarik atau menghalang pengundi daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ditanya sama ada terdapat mana-mana pihak telah melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya sepanjang tempoh berkempen ini, Abdul Rashid berkata mereka yang mempunyai bukti boleh membawa kes itu ke mahkamah sebagai petisyen pilihanraya.

"Kalau setakat koyak poster, ia merupakan jenayah biasa yang tertakluk di bawah Akta Polis," katanya.

Beliau turut berkata Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2002) yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan akan datang, akan memansuhkan kewujudan "Pondok Panas" berhampiran pusat pengundian.

"Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan beberapa masalah yang timbul semasa hari pengundian," katanya.

Menurutnya, pindaan itu turut meliputi keperluan calon meletakkan deposit berasingan sebagai jaminan untuk menurunkan poster-poster pilihan raya dalam masa 14 hari selepas keputusan diumumkan.

"Pada masa ini, mereka hanya perlu meletakkan deposit dalam jumlah yang kecil kepada pihak berkuasa tempatan untuk memastikan poster-poster itu diturunkan selepas pilihanraya," katanya


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS