SUPP mahu dana mencukupi untuk sekolah di Sarawak
Kerajaan persekutuan digesa membekalkan dana yang mencukupi bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk sekolah bantuan kerajaan dan persendirian di Sarawak.
Presidennya Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan (
kanan
) berkata tuntutan itu dibuat dalam petisyen oleh pelbagai lembaga sekolah kepada parti itu kerana pendidikan adalah di bawah kerajaan pusat dan sekolah-sekolah itu mengikut dasar pendidikan kebangsaan.
"Terdapat lebih 200 sekolah Cina bantuan kerajaan dan lebih 160 sekolah mubaligh bantuan kerajaan yang mempunyai pelajar dari pelbagai bangsa tetapi kebanyakan bangunan sekolah terbabit memerlukan pembaikan segera, dinaiktaraf, dibesarkan atau ditempatkan semula berikutan peningkatan pelajar," katanya pada majlis makan malam di Miri malam semalam.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (
kiri
) sempena lawatannya ke Sarawak.
Chan yang juga timbalan ketua menteri, berkata terdapat kira-kira 50 peratus pelajar bumiputera di sekolah Cina di kawasan bandar, manakala peratusan di sekolah mubaligh di luar bandar adalah lebih tinggi iaitu antara 70 peratus dan 90 peratus.
“Rakyat gembira kerajaan pusat memperuntukkan RM50 juta untuk setiap sekolah Cina dan mubaligh bantuan kerajaan serta sekolah Tamil," katanya
Beliau berkata Sarawak menerima geran sebanyak RM9,037,000 untuk sekolah Cina bantuan kerajaan dan RM19,733,925 bagi sekolah mubaligh bantuan kerajaan pada tahun lalu.
- Bernama

