Calon PAS bimbang kehadiran pengundi hantu
Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Amiruddin Hamzah, berpuas hati dengan perjalanan piliharaya bagi DUN tersebut tetapi menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan wujudnya pengundi hantu.
"Saya percaya peluang PAS mempertahankan kerusi tersebut amat cerah dan bagi pihak parti, kesemua yang terlibat telah melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi
malaysiakini
.
"Buat masa ini, saya cuma berserah kepada Allah," tambah jurutera yang berusia 40 tahun itu.
Katanya, selain keputusan pilihanraya, perbezaan majoriti juga menjadi statistik penting sebagai ukuran kekuatan kedua-dua pihak.
Sementara itu, cubaan malaysiakini untuk menghubungi calon BN Datuk Zakaria Said gagal.
Beberapa orang yang ditemui turut memberi pendapat mereka tentang pengundian yang telah berjalan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang tadi.
Calon berwibawa
Menurut Chong, 54, keputusan di Anak Bukit akan memihak kepada BN kerana bukan Melayu takut dengan pelaksanaan hukum hudud oleh PAS, seperti di Terengganu.
"Berbeza dengan pilihanraya umum 1999, kaum Cina tidak lagi marahkan kerajaan kerana keadaan ekonomi semakin bertambah baik," kata Chong yang juga seorang peniaga.
Pelajar kolej swasta yang mahu dikenali sebagai Rubi, 33, pula yakin PAS akan mengekalkan kerusi tersebut kerana Amiruddin merupakan seorang calon yang amat berwibawa berbanding calon BN, Datuk Zakaria Said.
Pendapatnya dikongsi bersama oleh Kak Nisah, seorang kakitangan awam, yang mengakui bahawa Amiruddin merupakan seorang yang mesra rakyat dan berkebolehan.
"Tidak hairanlah kalau pengundi memilih Amiruddin, kerana beliau sememangnya seorang yang layak menjadi pemimpin," katanya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now