PAS kekal kerusi Anak Bukit

comments     Published     Updated

berita terkini

Barisan Nasional gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Anak Bukit apabila calonnya Datuk Zakaria Said tewas kepada calon PAS, Amiruddin Hamzah dengan majoriti sebanyak 508 undi.

Menurut keputusan rasmi yang baru diumumkan, Amiruddin memperolehi 8,298 undi manakala Zakaria mendapat 7,790 undi.

Keputusan itu jelas menunjukkan persaingan sengit di antara kedua-dua parti kerana jumlah majoriti yang diperolehi PAS kali ini merosot sebanyak 1,332 undi.

Keputusan juga memperlihatkan bahawa undi yang diperolehi oleh calon PAS juga telah merosot 162 undi berbanding 8,480 undi dalam pilihanraya umum 1999. Manakala undi yang diperolehi oleh calon BN pula meningkat 1,158 berbanding 6,640 undi dalam pilihanraya umum lalu.

Sewaktu pengundian undi yang bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, sejumlah 84 peratus daripada 19,399 pengundi di Anak Bukit membuang undi masing-masing, manakala 76 peratus daripada 53,128 pengundi di Pendang keluar mengundi.

Peratus pengundian di Anak Bukit kali ini jauh lebih tinggi berbanding dengan 77.89 peratus pada pilihanraya umum lalu. Bagaimanapun, bagi kawasan Parlimen Pendang, peratus pengundiannya merosot berbanding dengan 81.09 peratus pada 1999.

Tembusi kubu

Dalam reaksi selepas pengumuman itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata walaupun tewas, tetapi BN telah berjaya mengurangkan dengan banyaknya majoriti yang diperolehi oleh calon PAS.

"Kali ini pekerja BN telah bekerja bersungguh-sungguh dan berjaya menembusi kubu-kubu kuat PAS yang sebelum ini tidak boleh dimasuki langsung oleh pihak kita," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan yang dicapai oleh BN kali ini belum lagi mencukupi untuk mencapai kemenangan di DUN Anak Bukit.

Ketika ditanya apakah punca kekalahan BN di Anak Bukit kerana faktor calon, Abdullah berkata: "Kita belum lagi membuat analisa mengenainya, tetapi kita telah berjaya menembusi masuk ke kawasan PAS. Ini satu merupakan kejayaan."

Di samping itu, katanya, ada cawangaan Umno yang ditubuhkan di kubu kuat PAS di mana sebelum ini BN tidak diterima langsung di kawasan terbabit.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In