BN rampas semula Pendang, PAS kekal di Anak Bukit
Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Parlimen Kawasan Pendang dengan majoriti 283 undi selepas pengiraan undi terpaksa diadakan bagi kesemua 121 peti undi dalam pilihanraya kecil kawasan berkenaan, bagi menentukan keputusan muktamad.
Keputusan itu telah melegakan para penyokong BN yang sebelum ini kecewa apabila calonnya Datuk Zakaria Said gagal merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, yang dimenangi PAS dengan majoriti 508 undi.
Di Pendang, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul mendapat 22,542 undi manakala calon PAS, Dr Mohd Hayati Osman memperolehi 22,542 undi.
Keputusan itu diumumkan pada jam 11.45 malam, selepas selesai pengiraan semula undi yang diadakan kira-kira jam 11 malam ini, setelah keputusan pengiraan awal dimenangi oleh calon BN dengan majoriti kecil.
Dalam pilihanraya umum lalu, PAS merampas kerusi Parlimen Pendang daripada BN, melalui presiden parti itu, allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Persaingan hebat
Sejumlah 86.07 peratus daripada 53,128 pengundi di Pendang keluar mengundi hari ini, mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang di 44 pusat pengundian.
Peratusan pengundian itu meningkat berbanding dengan 81.09 peratus dalam pilihanraya umum 1999 di mana Fadzil memperolehi 22,413 undi untuk menewaskan Othman, yang mendapat 19,474 undi, dengan majoriti 2,939 undi. Jumlah pengundi pada tahun 1999 ialah 53,388.
Sebelum ini, persaingan hebat berlaku dalam pengiraan jumlah undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon berkenaan sehingga pada satu ketika, calon PAS mendahului dengan hanya 15 undi sahaja.
Ketika 40 peratus daripada sejumlah 121 peti undi dikira, calon PAS, Dr Hayati mendahului dengan lebih 1,000 undi majoriti.
Bagaimanapun, apabila lebih 90 peti undi dikira, jumlah majoriti menurun sehingga 25 undi sahaja, dan selepas peti undi ke-99 dikira, jumlahnya hanya 15 undi. Jumlah majoriti itu bagaimanapun meningkat kepada 281 undi kepada PAS, selepas pengiraan peti undi ke-101 disahkan.
Pertahan kerusi
Sebelum itu, calon PAS Amiruddin Hamzah berjaya mempertahankan kerusi DUN Anak Bukit dengan menewaskan calon BN dengan majoriti 508 undi.
Amiruddin memperolehi 8,298 undi manakala Zakaria mendapat 7,790 undi.
Keputusan itu jelas menunjukkan persaingan sengit di antara kedua-dua parti kerana jumlah majoriti yang diperolehi PAS kali ini merosot sebanyak 1,332 undi.
Dalam pilihanraya umum lalu, PAS yang diwakili oleh Fadzil dengan mendapatkan 8,480 undi, manakala calon BN mendapat 6,640 undi.
Sewaktu pengundian undi yang bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, sejumlah 84 peratus daripada 19,399 pengundi di Anak Bukit membuang undi masing-masing.
Peratus pengundian di Anak Bukit kali ini jauh lebih tinggi berbanding dengan 77.89 peratus pada pilihanraya umum lalu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now