Calon BN akui jentera pilihanraya PAS lebih kuat di Anak Bukit
Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, Datuk Zakaria Said, yang tewas kepada calon PAS semalam, mengakui jentera pilihanraya BN tidak mampu menyaingi semangat jentera parti lawan.
"Jentera parti PAS nampaknya sungguh bersemangat bekerja siang dan malam untuk mempertahankan kerusi Anak Bukit," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Zakaria percaya bahawa semangat luar biasa itu adalah didorong oleh semangat untuk menang dan pengalaman mereka bertugas untuk parti sepanjang tahun.
"Walaupun jentera BN turut memberikan komitmen yang tinggi, tetapi jentera PAS nampaknya jauh lebih mantap dalam menjalankan tugas mereka," katanya.
"Mujurlah BN di Anak Bukit mendapat sokongan padu dari (Menteri Besar Perlis) Datuk Seri Shahidan Kassim....kalau dia tak bantu, mungkin keputusan akan lebih jauh memihak kepada PAS," kata Zakaria, yang tewas dengan 508 undi.
Bagaimanapun, Zakaria tidak menyalahkan jentera BN sebagai punca kekalahannya, sebaliknya mengakui bahawa kekurangan penglibatannya dalam politik sejak 1999 telah menjejaskan popularitinya.
Majoriti menurun
Zakaria, yang sudahpun mempunyai enam orang cucu itu berkata bahawa beliau tidak begitu aktif berpolitik sejak tidak dicalonkan pada tahun 1999, walaupun pernah menduduki kerusi tersebut selama empat penggal.
Calon PAS Amiruddin Hamzah pula menyifatkan kemenangannya ke atas Zakaria sebagai satu petanda yang cukup baik bagi parti itu untuk menyemarakkan lagi penguasaannya di Kedah.
'Walaupun BN mendakwa pengaruh PAS berkurangan dengan melihat kepada majoriti yang menurun, hakikatnya PAS telah memenangi pilihanraya kecil yang sememangnya sukar bagi parti lawan kerana BN mempunyai kelebihan dengan menggunakan segala jentera kerajaan," kata jurutera berusia 40 tahun itu.
Bagaimanapun, Amiruddin yakin bahawa persaingan dalam pilihanraya umum akan datang tidak mungkin begitu sengit seperti di dalam pilihanraya kecil dan tidak sukar baginya untuk terus mengekalkan kerusi tersebut.
"Walaupun segala tumpuan diberikan pada DUN Anak Bukit ini, terbukti BN tidak cukup kuat untuk merampas semula kerusi ini," katanya.
Menurut Amiruddin, beliau akan mengkotakan janji beliau kepada pengundi dalam tempoh sebulan yang akan datang, termasuk menyediakan pusat khidmat masyarakat di DUN Anak Bukit.
Jentera kerajaan
Pendapat Amiruddin dikongsi bersama oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali, yang mendakwa kekuatan jentera BN terletak kepada penggunaan wang dan kemudahan kerajaan.
"Dengan wang yang begitu banyak dicurahkan di kawasan pilihanraya dan ditambah pula dengan penggunaan jentera kerajaan, tidak hairanlan kalau BN berjaya mengurangkan majoriti atau pun menang dalam mana-mana pilihanraya kecil," kata Mustafa.
Selain itu, katanya, BN juga telah berjaya menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan bermodalkan isu hukum Hudud di Terengganu.
"Yang pentingnya pengundi Melayu tetap bersama- sama PAS walaupun mereka turut menerima berbagai habuan dan janji manis dari BN semasa tempoh berkempen," katanya lagi.
Oleh kerana pengundi Melayu terus kekal dengan pembangkang walaupun setelah kerajaan Terengganu meluluskan undang-undang Hudud, Mustafa percaya PAS akan tetap unggul di Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa negeri lain menjelang pilihanraya umum akan datang.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu, pengurangan majoriti PAS di Anak Bukit dan kekalahan di Pendang tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan BN, kerana beliau percaya BN mendapat banyak undi melalui "pengundi hantu".
Sokongan merosot
Beliau mendakwa PAS mempunyai banyak bukti bahawa terdapat pengundi dari luar kawasan yang cuba membuang undi di Anak Bukit semalam.
"Saya percaya ramai lagi yang terlepas ke Pendang, kerana peratus mereka yang membuang undi sebanyak 86 peratus adalah dianggap luar biasa bagi pilihanraya kecil," katanya.
Semalam, Pengarah Keselamatan Pilihanraya PAS bagi DUN Anak Bukit, Mohd Fauze Hussain, memberitahu malaysiakini sekurang-kurangnya 17 orang yang dipercayai pengundi hantu telah berjaya ditahan di Anak Bukit.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mendakwa Umno telah berjaya mengekang pengaruh PAS di Kedah dengan keupayaannya mengurangkan majoriti yang diperolehi parti pembangkang itu di Anak Bukit serta kemenangan BN di Pendang.
"Saya percaya rakyat semakin menolak PAS, dan sokongan kepada (pemangku presiden) Datuk Seri Hadi Awang tidaklah begitu mengghairahkan," katanya.
"Nampaknya cara mereka berkempen dan hujah mereka semakin membawa parti itu kebelakang," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri Umno Kedah, Zuraini Kamal, menyifatkan pengurangan majoriti di Anak Bukit dan kemenangan BN di Pendang sebagai satu kejayaan besar parti yang sedikit sebanyak dibantu oleh sayap termuda parti itu.
Persaingan sengit
"Nampaknya masyarakat menerima kami dengan baik kerana kami tidak memilih bulu dalam menjalankan khidmat kami," katanya.
"Oleh kerana pergerakan Puteri turut memberikan kesan positif kepada parti, tidak hairanlah kalau pihak pembangkang sentiasa menghentam peribadi ketua kami," katanya.
Dalam pilihanraya kecil Anak Bukit semalam, calon PAS Amiruddin Hamzah berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan menewaskan calon BN dengan majoriti 508 undi. Amiruddin memperolehi 8,298 undi manakala Zakaria mendapat 7,790 undi.
Keputusan itu jelas menunjukkan persaingan sengit di antara kedua-dua parti kerana jumlah majoriti yang diperolehi PAS kali ini merosot sebanyak 1,332 undi.
Bagaimanapun, PAS gagal mempertahan kerusi parlimen Pendang apabila calon BN, Datuk Othman Abdul mendapat 22,542 undi manakala calonnya, Dr Mohd Hayati Osman hanya memperolehi 22,542 undi.
Pilihanraya kecil DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Fadzil Noor, yang juga presiden PAS pada Jun 23 lalu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now