Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit semalam adalah disebabkan oleh golongan fanatik PAS yang tidak lagi boleh berfikir secara waras.

Sambil menegaskan bahawa kekalahan BN itu bukan kerana masalah pemilihan calon, Dr Mahathir berkata ahli PAS yang terlalu fanatik itu mengikut apa sahaja yang disuruh oleh pemimpin mereka walaupun untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai budaya orang Melayu.

Agensi berita nasional, Bernama , memetik beliau sebagai berkata: "Golongan ini mengikut telunjuk pemimpin sungguhpun pemimpin berkenaan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya Melayu dan agama Islam yang dianuti".

"Saya tak fikir soal calon....dia (ahli fanatik PAS) tak fikir langsung, dia cuma fikir nak pangkah dan sokong simbol bulan dan kalau letak tunggul kayupun mereka sokong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Antarabangsa Mengenai Islam di sini hari ini.

Katanya, kalau pemimpin Umno pun dijadikan calon PAS, dia akan tetap mendapat sokongan golongan itu, kerana bukan mudah mengubah pendirian mereka yang yang fanatik itu.

Bagi kerusi DUN Anak Bukit itu, calon BN Datuk Zakaria Said tewas kepada calon PAS Amiruddin Hamzah dengan majoriti 508 undi.

Boleh dicalon semula

Dr Mahathir juga tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa seseorang yang pernah memegang jawatan beberapa kali tidak perlu dicalonkan semula pada pilihanraya seterusnya.

Katanya, tidak semestinya seseorang yang pernah memegang jawatan sebagai wakil rakyat beberapa kali tidak patut dicalonkan semula.

"Saya memegang semula jawatan (Ahli Parlimen Kubang Pasu) sebanyak enam kali, bertanding tujuh kali, kalah sekali..kalau ada syarat itu, saya tak bolehlah bertanding dan tak bolehlah jadi PM selama lebih 20 tahun," katanya.

Dr Mahathir berkata: "Kalau letak calon barupun, mungkin ada yang tak suka..jadi letak calon lama apa salahnya. Cakap memang senang."

Mengenai tindakan penyokong PAS yang mempamerkan gelagat liar dan samseng dengan menahan 20 bas yang membawa perayu undi BN, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan bertindak seolah-olah mereka adalah polis.

Beliau berkata ia adalah fenomena yang kian menular di kalangan anggota PAS kerana mereka fikir taktik ganas boleh membawa kemenangan kepada mereka.

Beliau meminta pihak berkuasa memikirkan cara bagi menangani perbuatan seumpama itu.