Kepimpinan Umno Kedah perlu bertindak segera menyelesaikan semua masalah dalaman yang wujud di peringkat bahagian dan cawangan akibat pertandingan bagi merebut jawatan parti, sebelum pilihanraya umum akan datang, bagi menjamin kesinambungan pemerintahan parti itu di Kedah.
"Kalau tidak, Barisan Nasional (BN) dan Umno akan menghadapi nasib yang sama sepertimana kekalahannya untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit," kata sumber-sumber Umno kepada malaysiakini .
"Harapan BN untuk menawan semula kerusi DUN Anak Bukit boleh menjadi kenyataan sekiranya tidak wujud faktor perpecahan di dalam Umno bahagian Kuala Kedah sendiri," tambah sumber-sumber itu.
Dalam pilihanraya DUN kecil Anak Bukit pada 18 Julai lalu, BN gagal memenangi kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Zakaria Said
(kiri)
tewas kepada calon PAS, Amiruddin Hamzah dengan majoriti 508 undi.
Manakala pilihanraya kecil Parlimen Pendang, yang berlangsung pada hari yang sama, dimenangi oleh calon BN, Datuk Othman Abdul yang menewaskan calon PAS, Dr Mohd Hayati Osman, dengan majoriti 283 undi.
Mengulas lanjut mengenainya, sumber-sumber itu berkata, Umno patut mengambil pengajaran daripada kekalahannya di Anak Bukit dengan tidak memilih pemimpin yang terbabit dalam masalah dalaman parti sebagai calon pilihanraya.
"Ini kerana wujudnya puak-puak bertentangan dalam parti yang mungkin tidak menyokongnya sebagai calon dalam sebarang pilihanraya. Inilah berlaku dalam pilihanraya kecil DUN Anak Bukit.
Kurang majoriti
"Faktor perpecahan dalam parti ini amat merbahaya kepada BN dan Umno sekiranya, ahli dan pemimpin yang tidak berpuas hati ini memilih untuk menyatakan pendirian itu semasa berlangsungnya pilihanraya," kata satu sumber.
Kata mereka, masalah pergeseran di antara ahli-ahli yang menyokong pemimpin tertentu dalam Umno bahagian Kuala Kedah terus berlanjutan dan akibatnya dapat dilihat dalam pilihanraya kecil Anak Bukit.
Akibatnya, kata sumber-sumber itu, timbul golongan dalam Umno sendiri yang mempertikaikan calon yang dipilih untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil Anak Bukit.
"Kekalahan BN di Anak Bukit lebih menjurus kepada faktor dalaman. Kalau kita tengok, Umno dapat tarik balik sokongan pengundi, dengan mengurangkan majoriti yang dimenangi PAS kepada 508 sahaja."
Pada tahum 1999, PAS memenangi kerusi Anak Bukit dengan majoriti 1,840.
"Oleh itu, masalah dalaman ini mesti diselesaikan sebelum berlangsung pilihanraya umum akan datang. Pembabitan ahli jawatankuasa dan jentera pilihanraya Umno bahagian Kuala Kedah tidak berkesan, kecuali bantuan bersungguh-sungguh oleh 'bapa angkat' dari Umno negeri lain," kata sumber-sumber itu.
Umno bahagian Kuala Kedah diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, yang juga merupakan Ahli DUN Kubang Rotan, salah satu daripda tiga DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah.
Dua lagi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah ialah Anak Bukit dan Pengkalan Kundor yang turut dimenangi oleh calon PAS dalam pilihanraya umum lalu.
