Belanjawan 2003 cermin kekuatan kewangan negara: Mahathir
Belanjawan 2003 yang sedang disediakan oleh Kementerian Kewangan akan mencermin kekuatan ekonomi negara ke arah mengurangkan defisit dan meningkatkan kekuatan kewangan negara, kata Perdana Menteri Datuk Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Belanjawan negara akan dibentangkan di Parlimen pada 20 Sept ini.
Dr Mahathir yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia tidak terikat dengan hutang yang terlalu besar sehingga terpaksa membelanjakan semua hasil bagi membayar pinjaman.
"Kalaupun kita pinjam dari luar negara, ia bukannya kerana kita tidak ada wang yang cukup tetapi kita pinjam untuk "benchmarking" bagi menentukan kedudukan "credit worthy" negara," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap di perhimpunan bulanan Perbendaharaan di Kompleks Pejabat Kerajaan di Jalan Duta di sini, hari ini. Perbendaharaan akan berpindah ke Putrajaya bulan depan.
Dr Mahathir berkata apabila negara hendak meminjam wang, ramai yang ingin memberinya, malahan menawarkan pinjaman jauh lebih banyak daripada yang diperlukan.
Projek raksasa
"Ini menunjukkan betapa kuatnya kewangan negara," katanya sambil menegaskan bahawa Malaysia harus meneruskan usaha untuk mentadbir ekonomi dan kewangannya dengan bijak.
Perdana Menteri berkata kerajaan berani melaksanakan projek raksaksa pembinaan pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya kerana ia adalah dalam kemampuan.
Mengenai perpindahan Kementerian Kewangan ke bangunan baru di Precint 2, Putrajaya, beliau berharap ia dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik, selesa dan lengkap dengan kemudahan.
"Saya harap kita dapat meneruskan usaha mentadbir kewangan dan pengurusan belanjawan yang baik ini walaupun negara akan mempunyai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang baru," katanya.
Dr Mahathir telah mengumumkan bahwa beliau akan bersara mulai Oktober 2003 dan menamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.