Ahli-ahli Parlimen (MP) yang beragama Islam di Singapura didakwa lebih berperanan sebagai 'jurucakap kerajaan' daripada berusaha untuk menangani masalah dan keperluan 450,000 masyarakat Islam di republik itu.

Ketika membuat dakwaan itu, pengarang sebuah laman internet mengenai masyarakat Islam Singapura, Fateha.com , Zulfikar Mohamad Shariff, berkata daripada 12 ahli Parlimen beragama Islam, hanya seorang sahaja yang memgang jawatan menteri dalam kerajaan.

"Saya dan rakan-rakan tidak lagi menganggap mereka sebagai perwakilan bagi orang Islam. Sekarang kami menggelar mereka sebagai 'penyampai dasar-dasar kerajaan'.

"Gelaran itu timbul sewaktu kami membantah hasrat kerajaan untuk menutup madrasah bagi pengajian peringkat sekolah rendah. Kami mahu ia dikekalkan tetapi ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak menghiraukan pendapat kami. Sebaliknya mereka menjelaskan kenapa kerajaan membuat dasar-dasar tersebut," katanya kepada malaysiakini baru-baru ini.

Zulfikar menjelaskan bahawa perwakilan-perwakilan Islam di republik itu sebenarnya tidak pernah dipilih oleh majoriti masyarakat Islam Melayu.

"Kerajaan telah menetapkan hanya 25 peratus penduduk Melayu boleh mendiami setiap kawasan pilihanraya. Jadi ahli Parlimen in dipilih oleh penduduk kawasan masing-masing yang berbilang kaum, dengan majoritinya masyarakat berbangsa Cina.

Dibuang sekolah

"Oleh itu, tidak ada seorangpun ahli Parlimen yang benar-benar dipilih oleh majoriti kaum Melayu-Islam di Singapura," katanya.

Beliau juga mendakwa media bahasa Melayu di republik itu juga juga gagal menyiarkan secara betul pendapat dan keperluan kaum Melayu dan masyarakat Islam secara amnya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka lebih gemar menyiarkan tentang individu dalam isu-isu terbabit dan bukannya mengenai kepentingan isu-isu itu sendiri.

Sebagai contoh, katanya, bapa pelajar perempuan yang dibuang sekolah kerana memakai tudung, disifatkan pihak media sebagai seorang yang degil dan tidak memperdulikan pelajaran anaknya.

Tetapi, katanya, apabila presiden Singapura, Goh Chok Tong berkeras untuk mengekalkan dasar kerajaan yang tidak membenarkan pelajar perempuan memakai tudung, beliau dianggap sebagai 'seorang yang berpendirian teguh'.

"Kami menyedari hakikat ini apabila kami menolak rancangan penutupan madrasah. Jadi saya dan dua kawan lain memutuskan untuk menubuhkan Fateha.com supaya pendapat kami dapat didengari masyarakat. Ia juga bertujuan menggesa kerajaan supaya adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Menurut Zulfikar, beliau tidak pernah mempersoalkan langkah kerajaan republik itu mempromosikan budaya kaum Cina dan bahasa Mandarin melalui sistem pelajaran Program Bantuan Khas (SAP).

Rancangan terbantut

"Tapi jika kerajaan membenarkan satu kaum mempromosikan nilai-nilai yang mereka hargai, kaum lain seperti India dan Melayu, juga perlu diberi peluang yang sama," katanya.

Mengenai isu madrasah, Zulfikar berkata kerajaan telah menarik balik rancangannya untuk menutup enam madrasah sekolah rendah, tetapi sebaliknya, menghadkan jumlah pendaftaran pelajar Tahun Satu bagi kesemua madrasah yang tidak menerima bantuan kerajaan, kepada 400 murid mulai tahun depan.

"Kerajaan juga turut menetapkan syarat-syarat lain. Salah satunya ialah madrasah-madrasah itu memperolehi keputusan PSLE (Peperiksaan Sekolah Rendah) pada tahap yang ditetapkan selama tiga tahun berturut-turut. Jika tidak, ia akan ditutup," katanya.

Had pendaftaran pelajar Tahap Satu itu, bukan sahaja akan membantutkan rancangan untuk membesarkan madrasah-madrasah tersebut, tetapi juga akan mengakibatkan ribuan permohonan ditolak.

"Setiap tahun, madrasah-madrasah terbabit menerima antara 1,000 hingga 3,000 permohonan daripada ibubapa yang mahu anak-anak mereka didedahkan kepada pengajian Islam di peringkat awal," katanya.

Zulfikar juga mendakwa bahawa masalah "pengharaman" pemakaian tudung oleh pelajar-pelajar sekolah perempuan bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi umat Islam di Singapura.

Dilarang bersembahyang

"Kami mendapat aduan bahawa ada pelajar dan guru beragama Islam dilarang menunaikan sembahyang fardu di sekolah. Sebelum ini mereka menunaikan sembahyang pada waktu rehat tetapi sekarang, mereka tidak dibenar berbuat demikian walaupun waktu rehat.

"Pengetua sekolah memberitahu pelajar bahawa pihak sekolah telah dinasihati oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) yang pelajar boleh melakukan sembahyang qadha. Tetapi apabila saya menghubungi MUIS, mereka menafikan memberi nasihat sedemikian," katanya.

Aduan yang kedua, katanya, melibatkan sebuah sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh Kristian (Convent) di mana seorang guru yang beragama Islam, juga tidak dibenarkan untuk bersembahyang.

"Guru itu diberitahu bahawa beliau tidak boleh bersembahyang di sekolah kerana ia adalah sebuah sekolah Convent," katanya.

Mengenai isu tudung pula, beliau menegaskan bahawa kaum Cina pada umumnya tidak bersependapat dengan pendirian kerajaan republik itu.

"Kebanyakan mereka tidak pernah membangkitkan isu ini. Mereka tidak pernah hairan dengan pemakaian hijab (kain penutup wajah). Saya pernah diberitahu seorang rakan Cina bahawa dia hairan mengapa kerajaan Singapura boleh berpendapat bahawa sehelai kain boleh menyebabkan perpecahan kaum," katanya.

Tindakan tersebut, kata Zulfikar, jelas tidak selari dengan perlembagaan republik itu yang memberi kebebasan mengamal kepercayaan masing-masing.