Sebarang kajian semula mengenai peraturan berkempen ketika pilihanraya yang dianggap keterlaluan perlu mengambil kira pandangan daripada pihak pembangkang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Sambil menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membuat mengkaji semula itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata, pandangan semua parti politik perlu bagi membolehkan kempen pilihanraya dijalankan secara adil dan saksama.

Agensi berita nasional, Bernama , memetik Nik Aziz sebagai berkata beliau bimbang sekiranya pandangan parti lain khususnya di kalangan pembangkang tidak diambil kira peraturan berkempen yang baru akan menjejaskan amalan demokrasi di negara ini.

"Saya setuju benar kalau peraturan berkempen ini hendak dikaji tetapi libatkanlah juga parti pembangkang kalau boleh," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, Kelantan.

Umno dan PAS sering menuding jari menuduh satu sama lain terbabit dalam cara kempen yang disifatkan 'ganas' sewaktu berlangsungkan kempen pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dan Parlimen Pendang.

Beri peluang

Dalam pilihanraya kecil itu, PAS berjaya mengekalkan DUN Anak Bukit apabila calonnya Amiruddin Hamzah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zakaria Said dengan kelebihan 508 undi.

Manakala di Pendang, BN berjaya merampas kerusi Parlimen daripada PAS selepas calonnya, Datuk Othman Abdul, menewaskan calon PAS, Dr Mohd Hayati Osman, dengan kelebihan 283 undi.

Sebelum itu, akhbar tempatan melaporkan bahawa SPR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi mengkaji peranannya dalam mengendalikan pilihanraya termasuk menangani cara berkempen yang keterlaluan.

Nik Aziz berkata, dalam melakukan kajian semula itu sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai semua parti politik wajar ditubuhkan untuk memberikan reaksi serta pendapat bagi kebaikan bersama.

"Panggil dan tanya apa parti politik kehendaki dan masing-masing beritahu serta beri pendapat dan berbincang. Kalau tidak kajian (peraturan baru) ini akan menjadi semakin ketat dan mencengkam lagi," katanya.