MAS didenda kerana bawa bahan yang membahayakan penumpang
Penerbangan Malaysia (MAS) didenda sebanyak RM418,000 (AS$110,000) oleh Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) kerana didakwa mengangkut bahan merbahaya dengan pesawat penumpang.
Dalam satu siaran akhbar yang bertarikh 1 Julai lalu, FAA berkata syarikat penerbangan negara ini telah melanggar peraturan mengenai syarat pengangkutan barangan merbahaya, Jabatan Pengangkutan AS.
Menurutnya, pada 5 Julai tahun lalu, MAS telah mengangkut sebuah janakuasa oksigen dalam pesawat penumpang dari Kuala Lumpur ke Los Angeles,
FAA mendakwa pihak MAS bukan sahaja gagal mengisytiharkan kargo itu kepada kepada pihak berkuasa berkenaan, tetapi juga kepada krew penerbangannya sendiri, di samping gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi mengangkut bahan tersebut.
Ia juga mendakwa bahawa pesawat MAS itu tidak menyediakan sebarang maklumat tindakbalas kecemasan yang disyaratkan ketika membawa bahan-bahan merbahaya.
Selepas mendarat, katanya, janakuasa oksigen itu telah dibawa dari Los Angeles melalui pengangkutan darat ke Pusat Pembaikan Perdagangan Boeing di Seattle, sebelumnya kargo itu dibuka.
Berdasarkan penilaian itu, FAA berkata: "MAS menawar, menerima dan mengangkut bahan-bahan yang merbahaya yang tidak dikelas dan dilabel sepertimana sepatutnya, atau mematuhi syarat-syarat mengangkut bahan-bahan merbahaya".
Bahan bocor
Kejadian itu telah dilaporkan dalam edisi 15 Julai majalah Aviation Week & Space Technology . Majalah itu juga mendakwa bahawa MAS, pada May15, 2001, telah mengangkut bahan hydroxy quinolene dengan menggunakan pesawat penumpang dari Beijing ke Kuala Lumpur.
Apabila pesawat Airbus A330-300 itu mendarat di Kuala Lumpur, didapati berlaku kebocoran bahan berkenaan yang menjejaskan tempat simpanan kargo dan sistem penghawa dinginnya.
Kerana kerosakan yang serious akibat kebocoran bahan tersebut, maka pesawat tersebut tidak dapat digunakan lagi.
Majalah itu juga mendakwa ini merupakan kali kedua MAS didenda oleh FAA. Kali pertama, FAA menarik balik sijil pengisytiharannya terhadap Bahagian Kejuruteraan MAS. Bagaimanapun, MAS memperolehi semula sijil pengisytiharan itu selepas audit tahun 2000.
Sementara itu, pegawai perhubungan awam MAS, Shauqi Ahmad berkata beliau perlu menghubungi jabatan-jabatan berkenaan sebelum dapat memberi sebarang ulasan mengenai kejadian itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.