Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mendapati bekas ahli Exco kerajaan Negeri Selangor, Datuk Saidin Thamby bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah bernilai RM1 juta.

Bagaimanapun, Hakim Suraya Othman belum menjatuhkan hukuman memandangkan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Saidin tidak hadir pada prosiding hari ini.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk mendengar rayuan Saidin sebelum menjatuhkan hukuman.

Suraya membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Beliau juga mengekalkan wang jaminan RM150,000 terhadap Saidin.

Saidin, 65, dituduh menerima cek RM1 juta dari Syarikat Nusantara Network Sdn Bhd pada 15 Mac 1997 kira-kira jam 12 tengah malam di No 2, Jalan Selaseh 4, Taman Selaseh Batu Caves di sini.

Wang itu dikatakan sebagai ganjaran kepada Saidin kerana membantu syarikat itu mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi sebidang tanah kerajaan di Seksyen 4, pekan Batu caves, Mukim Batu, Gombak untuk dimajukan sebagai Selayang Baru Business Centre.

Kelulusan exco

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 (a) (i) Akta Pencegah Rasuah 1961 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Saidin yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Paya Jaras, menerima cek berkenaan daripada seorang akauntan awam Datuk Dr Abu Hanifah Nordin, bekas pengerusi eksekutif syarikat Nusantara Network Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapat kelulusan Exco kerajaan negeri Selangor.

Exco kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permohonan syarikat itu pada 4 Oktober 1995.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordin Hassan manakala peguam Khamsah Abu Bakar dan Shahabudin Shaik Alaudin hadir bagi pihak Muhammad Shafee.