Pembangkang tolak cadangan beri lebih kuasa kepada SPR
Kesemua parti pembangkang utama PAS, Keadilan, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menolak cadangan supaya Suruhanraya Pilihanraya (SPR) diberi lebih kuasa dalam menguruskan perjalanan pilihanraya di negara ini.
Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa berkata pemberian kuasa yang lebih kepada SPR, seperti yang dikehendaki oleh suruhanjaya itu, ditakuti boleh memudaratkan proses demokrasi di negara ini sekiranya ia disalahgunakan untuk mengekang kemaraan parti pembangkang.
"Kita tidak mahu berlakunya pindaan undang-undang pilihanraya semata-mata kerana ingin menyekat perkembangan parti pembangkang," katanya kepada malaysiakini ketika diminta mengulas cadangan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, seperti yang diumumkan oleh pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman, semalam.
Nasharuddin berkata, adalah tidak wajar bagi SPR untuk mencadangkan pindaan kepada akta itu semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada parti yang memerintah kerana pelaksanaan undang-undang mesti melibatkan semua pihak.
"Apabila pihak pembangkang melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan penyalahgunaan media dan jentera kerajaan oleh parti pemerintah di setiap pilihanraya, SPR langsung tidak mengendahkan perkara tersebut," katanya.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) seringkali 'mengganas' melalui media arus perdana, terutamanya television, dengan menyiarkan pelbagai tohmahan terhadap pembangkang tetapi langsung tidak diberikan sebarang reaksi oleh SPR.
"Sepatutnya, SPR menjadi sebuah badan bebas dan bukannya memihak kepada parti yang memerintah," katanya.
Pengundi yang telah mati
Pendapat beliau turut dikongsi oleh Presiden PRM, Dr Syed Hussin Ali, yang mendakwa tindak-tanduk SPR hanyalah untuk mengukuhkah lagi kedudukan parti pemerintah serta menutup kelemahan badan itu sendiri.
"Sebenarnya, ada banyak lagi perkara yang lebih penting yang SPR patut selesaikan, seperti kewujudan nama pengundi yang telah meninggal di dalam daftar pemilih, isu pengundi hantu dan penggunaan politik wang semasa pilihanraya," katanya.
Selain itu, tambahnya, tindakan SPR itu juga dilihat sebagai ingin menutup kegagalannya untuk mengemaskini daftar pemilih 1999, yang mengakibatkan lebih 680,000 pengundi muda tidak dapat membuang undi dalam pilihanraya umum lepas yang memberikan kelebihan kepada BN.
"Saya berpendapat pindaan akta ini adalah tidak perlu sama sekali kerana undang-undang yang ada pun sudah lebih dari cukup, sekiranya tujuannya adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini semasa pilihanraya," tambah Syed Hussin lagi.
"Saya hairan kenapa tindakan tidak diambil lebih awal lagi, iaitu semasa pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis (awal tahun ini) di mana ada penyokong parti pembangkang yang dicederakan," katanya.
Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut melahirkan kesangsian dengan tindakan SPR, yang memberikan reaksi berbeza terhadap ketidakpuasan hati oleh pemimpin BN ekoran prestasi parti tersebut yang tidak memuaskan di Anak Bukit dan Pendang minggu lalu.
"Bagi saya, undang-undang mestilah memperlihatkan keadilan, dan pelaksanaannya mestilah dibuat kepada dua-dua pihak, dan bukannya bagi menguntungkan mana-mana pihak," kata Wan Azizah.
Apa yang penting, katanya, SPR hendaklah terlebih dahulu mendengar pendapat semua pihak sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Mengenai pemantauan pilihanraya, Wan Azizah menegaskan ianya hendaklah dilakukan oleh sebuah badan bebas yang tidak mempunyai sebarang kepentingan.
Perlu berunding
Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula berpendapat kesemua parti dan pertubuhan bukan kerajaan mestilah diajak berunding oleh SPR sebelum cadangan pindaan akta dibuat bagi mengelakkan perkara ini menjadi agenda SPR dan BN.
"Kenyataan oleh Pengerusi SPR untuk meminta lebih kuasa supaya dapat mengambil tindakan terhadap penyokong dan parti pembangkang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya di dalam satu kenyataan.
"Hakikatnya, SPR sejak beberapa dekad lalu telah gagal meyakinkan rakyat negara ini bahawa ianya merupakan suatu badan yang bebas," kata Lim.
Sementara itu, agensi berita nasional, Bernama melaporkan bahawa Puteri Umno akan menubuhkan unit khas pilihanraya khusus bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ekoran pengalaman yang dilalui oleh ahli pergerakan itu dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit.
Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman Said dilaporkan berkata pergerakan itu ingin melihat SPR membuat perubahan undang-undang pilihanraya berdasarkan beberapa insiden yang tidak diingini seperti serangan peribadi terhadap pemimpin tertentu serta penahanan bas yang dikatakan membawa penyokong BN.
Dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam, Abdul Rashid berkata SPR mahu diberikan kuasa termasuk membatalkan kelayakan sesebuah parti politik daripada bertanding dan melarang penceramah menjadi calon atau pengundi selama lima tahun jika melanggar etika berkempen.
Pembatalan kelayakan sesebuah parti politik atau penceramah sebagai calon atau pengundi juga boleh dilakukan jika mereka didapati menggunakan kata-kata kesat ketika berceramah atau gagal mematuhi garis panduan menggunakan poster dan sepanduk.
Pasukan pemantau
Beberapa cadangan bagi mendapatkan kuasa tersebut adalah antara beberapa perkara tambahan dalam pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang akan dibentangkan di Parlimen September ini.
Antara cadangan yang akan dibentang untuk bacaan kali kedua rang undang-undang pindaan itu depan adalah berkaitan penubuhan Pasukan Pemantau Kempen Pilihanraya yang membabitkan anggota SPR, pihak berkuasa dan calon yang bertanding untuk memantau perilaku penyokong masing-masing sepanjang tempoh kempen pilihan raya, termasuk memantau sepanduk dan poster yang mengadungi perkataan- perkataan yang keterlaluan.
Semua parti politik yang ingin menyertai pilihanraya juga perlu mendaftar dengan SPR, selain mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Selain itu, deposit bagi setiap calon akan dinaikkan supaya peruntukan dapat digunakan bagi membersih sepanduk dan poster jika calon gagal menurunkan semula bahan kempen itu.
Pindaan Seksyen 7 hingga 11 membabitkan pelbagai kesalahan pilihanraya dan pengaruh negatif ketika berkempen serta penetapan saiz poster.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.