Kementerian Pengangkutan akan meminta penjelasan Penerbangan Malaysia (MAS) berhubung laporan bahawa syarikat berkenaan didenda oleh pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika syarikat baru-baru ini kerana didakwa mengangkut bahan berbahaya dalam pesawat penumpang.

"Saya belum dimaklumkan mengenainya, saya akan meminta penjelasan mereka," kata Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik kepada pemberita di pejabatnya selepas mesyuarat mingguan Kabinet.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , Dr Ling menegas demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa MAS didenda RM418,000 (US$110,000) oleh FAA baru-baru ini kerana didakwa mengangkut bahan berbahaya di atas pesawat penumpang.

FAA juga mendakwa bahawa syarikat itu bukan sahaja gagal mengisytiharkan penjana itu kepada pihak berkuasa, MAS juga tidak memaklumkannya kepada anak kapal serta gagal memenuhi spesifikasi pembungkusan untuk pengangkutan penjana.

Malaysiakini melaporkan semalam bahawa FAA mendakwa syarikat penerbangan negara ini telah melanggar peraturan mengenai syarat pengangkutan barangan merbahaya, Jabatan Pengangkutan AS dengan mengangkut sebuah janakuasa oksigen dalam pesawat penumpang dari Kuala Lumpur ke Los Angeles, pada 5 Julai ini.

FAA mendakwa pihak MAS bukan sahaja gagal mengisytiharkan kargo itu kepada kepada pihak berkuasa berkenaan, tetapi juga kepada krew penerbangannya sendiri, di samping gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi mengangkut bahan tersebut.

Bahan merbahaya

Ia juga mendakwa bahawa pesawat MAS itu tidak menyediakan sebarang maklumat tindakbalas kecemasan yang disyaratkan ketika membawa bahan-bahan merbahaya.

Selepas mendarat, katanya, janakuasa oksigen itu telah dibawa dari Los Angeles melalui pengangkutan darat ke Pusat Pembaikan Perdagangan Boeing di Seattle, sebelumnya kargo itu dibuka.

Berdasarkan penilaian itu, FAA berkata: "MAS menawar, menerima dan mengangkut bahan-bahan yang merbahaya yang tidak dikelas dan dilabel sepertimana sepatutnya, atau mematuhi syarat-syarat mengangkut bahan-bahan merbahaya".

Kejadian itu telah dilaporkan dalam edisi 15 Julai majalah Aviation Week & Space Technology . Majalah itu juga mendakwa bahawa MAS, pada 15 Julai lalu, telah mengangkut bahan hydroxy quinolene dengan menggunakan pesawat penumpang dari Beijing ke Kuala Lumpur.

Apabila pesawat Airbus A330-300 itu mendarat di Kuala Lumpur, didapati berlaku kebocoran bahan berkenaan yang menjejaskan tempat simpanan kargo dan sistem penghawa dinginnya.

Kerana kerosakan yang serious akibat kebocoran bahan tersebut, maka pesawat tersebut tidak dapat digunakan lagi.