Mahathir minta komponen BN terima pembahagian kerusi
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya menerima apa sahaja pembahagian kerusi bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk parti masing-masing pada pilihanraya umum akan datang.
Perdana Menteri berkata beliau membuat rayuan awal mengenai perkara itu supaya apabila beliau sudah membuat keputusan selaku Pengerusi BN, diharapkan semua dapat menerimanya.
"Katalah ada tambahan kerusi (pada pilihanraya umum akan datang, mesti ada parti komponen BN yang tak akan dapat semua apa yang mereka hendak...tapi tak adalah yang tak dapat langsung," katanya ketika menutup rasmi Konvensyen BN Negeri Johor di Stadium Tertutup Bandaraya di sini hari ini.
Agensi berita nasional, Bernama memetik Dr Mahathir sebagai berkata semua 14 parti komponen BN mestilah menerima pembahagian itu kerana pengagihan secara adil akan dibuat kepada semua pihak.
"Saya rayu awal-awal lagi...bila saya putuskan, terima sajalah," katanya.
Dr Mahathir menimbulkan soal pembahagian kerusi itu ketika menjelaskan prinsip teras BN yang sentiasa menyelesaikan segala perbezaan pendapat secara rundingan.
Tambahan kerusi
"Dan kadang-kadang kita dapat, kadang-kadang tidak...tiap orang nak lebih bagi dirinya, tak ada orang nak kurang bagi dirinya, tapi kadang-kadang kita tak dapat apa yang kita minta, apa yang kita idamkan, tapi kita kena terima bahawa kali ini bukan giliran kita, katalah kita ada tambahan kerusi umpamanya," katanya.
Beliau berkata kalau ada tambahan kerusi akan timbul soal siapa akan dapat kerusi itu dan tentunya ada orang yang tak dapat atau ada parti komponen yang tidak dapat.
"Adalah parti yang tak dapat...bukan tak dapat langsung, tak dapat yang dia nak. Yang nak tu memanglah banyak. Umno mungkin nak semua untuk dia, MCA kata dia nak separuh...jadi kalau Umno ambil semua MCA separuh, MIC dapat apa? Tak dapat apa langsunglah," katanya.
Perdana Menteri berkata semua parti komponen mestilah menerima hakikat itu.
"Percayalah kita akan agih secara adil bagi semua pihak. Itulah cara kita," katanya diikuti tepukan gemuruh hadirin yang memenuhi stadium itu termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.