Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pengundi Cina tidak takut mengundi di Pendang dan Anak Bukit: PAS

PAS menyifatkan dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa parti itu kehilangan banyak undi di Pendang dan Anak Bukit kerana pengundi Cina tidak keluar mengundi kerana takutkan keganasan penyokong PAS, sebagai tidak berasas sama sekali.

Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa, berkata dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad itu sebenarnya menggambarkan 'kekecewaan beliau yang amat sangat' kerana gagal mengembalikan keutuhan BN di Kedah sebelum persaraannya Oktober tahun depan.

"Lebih teruk lagi, dakwaan itu merupakan satu tuduhan jahat yang bersifat menghasut," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang semalam.

Sejajar dengan itu, Nasharuddin berkata, Dr Mahathir sepatutnya membuktikan dakwaannya itu dan tidak membuat tuduhan melulu semata-mata untuk memburukkan lagi parti pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, PAS sedang mempertimbang untuk membuat aduan polis terhadap dakwaan Dr Mahathir itu yang dianggapnya berunsur hasutan.

Dalam sidang akhbar semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata kira-kira 600 pengundi di Anak Bukit dan 2,000 di Pendang, yang dipercayai akan memberikan sokongan kepada BN, tidak membuang undi kerana takutkan penyokong PAS yang didakwa beliau membawa senjata dan parang, di samping membuat ugutan.

Kelemahan sendiri

Akibatnya, dakwa beliau, BN tewas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dengan 508 undi dan hanya menang tipis 283 undi di Parlimen Pendang.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar pula menasihatkan Dr Mahathir supaya melihat sendiri kelemahan dalam partinya dan bukannya mencari kambing hitam kerana pencapaian BN yang tidak memberansangkan dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Hakikatnya, pengundi Melayu menolak dasar-dasar kerajaan yang tidak konsisten, termasuk mengenai isu bahasa dan agama," katanya.

Selain itu, Mahfuz berkata, alasan bahawa pengundi takut untuk keluar mengundi adalah tidak munasabah kerana statistik menunjukkan terdapat peningkatan enam peratus pengundian bagi DUN Anak Bukit dan 10 peratus bagi Parlimen Pendang.

"Peratus pengundian yang melebihi 80 peratus di Pendang dan Anak Bukit, juga menunjukkan pengundi tidak takut keluar mengundi, kerana peratusan itu amat tinggi berbanding dengan mana-mana pilihanraya sebelum ini," kata Mahfuz.

Malahan, tambahnya, BN sendiri telah mendapat kemenangan di Pendang hasil sokongan bukan Melayu di kawasan tersebut.

Peratus pengundi Cina

Sebelum ini, MCA Kedah mendakwa kira-kira 95 peratus pengundi Cina yang mengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, memilih calon Barisan Nasional (BN).

Pemimpin MCA tempatan berkata berkata jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi juga meningkat kepada 82 peratus di Pendang dan 81 peratus di DUN Anak Bukit.

Dalam pilihanraya umum lalu, hanya 50 peratus pengundi Cina mengundi di Pendang dan 65 peratus di Anak Bukit.

Pengerusi MCA Kedah Datuk Beh Heng Seong berkata peningkatan peratus itu sebahagian besarnya berpunca daripada kebimbangan masyarakat kaum Cina terhadap undang-undang hudud yang diluluskan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu.

Oleh itu, kata Mahfuz, tidak timbul dakwaan bahawa pengundi BN tidak keluar kerana takutkan keganasan penyokong PAS.

Lebih 4,000 anggota polis telah dikerahkan menjaga keselamatan sewaktu hari pengundian bagi pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit pada 18 Julai lalu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS